Rabu, 24 Ogos 2011

KONTRAK JUAL BELI AMANAH (BAI’ AL-AMANAH)

Oleh:
Muhammad Yazid Othman

Pengenalan

Jual Beli Amanah atau pun Bai’ Al-Amanah ialah proses jual beli yang berteraskan kepada amanah iaitu kejujuran. Di mana urusniaga di antara penjual dan pembeli adalah berdasarkan kejujuran.

Di dalam Jual Beli Amanah (Bai’ Al-Amanah) terdapat beberapa jenis urusniaga iaitu:

i. Jual Beli Murabahah
ii. Jual Beli Tawliah
iii. Jual Beli Isyrak
iv. Jual Beli Wadhiah

Jual Beli Murabahah

Jual beli yang menggunakan kaedah Murabahah ialah di mana penjual secara jujur menyatakan kepada pembeli harga kos barang tersebut dan kemudiannya menyatakan kadar keuntungan yang diperolehi olehnya hasil jualan barangan tersebut kepada pembeli dan pembeli bersetuju dengan kadar keuntungan yang diperolehi oleh pihak penjual.

Sebagai contoh Kasim seorang peniaga kereta dan berhajat menjualkan kereta tersebut kepada Fauzi. Di dalam urus niaga tersebut Kasim telah memaklumkan kepada Fauzi bahawa harga kos kereta yang hendak dijualkannya kepada Fauzi ialah RM 10,000, dan dia menjualkan kereta tersebut kepada Fauzi sebanyak RM 15,000 dan Kasim akan memperolehi keuntungan sebanyak RM 5,000. Fauzi bersetuju dengan harga yang ditawarkan oleh Kasim. Inilah yang di namakan jual beli Murabahah.

Jual Beli Tawliah

Jual beli Tawliah pula ialah di mana penjual menyatakan kepada pembeli harga asal barangan tersebut dan tidak ada penambahan atau pengurangan di dalam jual beli tersebut.
Sebagai contoh Ali hendak menjual sehelai baju dengan harga RM 15. Harga tersebut merupakan harga sebenar iaitu harga kos. Dan pembeli bersetuju dengan harga itu. Di dalam Jual beli ini penjual tidak mengambil keuntungan dan tidak juga mengalami kerugian.

Jual Beli Isyrak

Konsep Jual beli Isyrak adalah sama seperti jual beli Tawliah. Cuma bezanya ialah barangan yang dijual hanya dijual sebahagian sahaja. Penjual dan pembeli berkongsi harta yang sama. Sebagai contoh Kamal mempunyai 100 ekar tanah, harga kos tanah berkenaan ialah 100 ribu. Beliau berhajat menjualkan sebahagian daripada tanah tersebut iaitu 50 ekar tanah dengan harga 50 ribu dan pembeli bersetuju dengan harga tersebut. Di dalam jual beli ini penjual hanya menjual sebahagian barangan dengan tidak mengambil sebarang keuntungan atau mengalami kerugian dan pembeli bersetuju dengan jual beli tersebut.

Jual Beli Wadhiah

Jual beli Wadhiah merupakan satu konsep jual beli di mana penjual menjual sesuatu barangan dengan menjelaskan harga asal atau harga kos kepada pembeli. Dan penjual dan pembeli bersetuju mengurangkan harga asal kepada harga yang lebih rendah. Sebagai contoh Ani hendak menjual sebuah pasu bunga dan beliau menyatakan bahawa harga kos pasu bunga tersebut sebanyak RM 20. Tetapi Ani dan pembeli bersetuju menjual dan membeli pasu bunga tersebut dengan dengan harga RM 15. Inilah yang dinamakan jual beli Wadhiah di mana penjual menyatakan harga asal barangan tersebut dan penjual dan pembeli bersetuju mengurangkan harga asal / harga kos kepada satu harga yang lebih rendah daripada harga kos. Di dalam jual beli ini peniaga tidak mengambil untung dan mengalami kerugian.

Kesimpulan

Di dalam urusan jual beli yang dinyatakan di atas, jelas di dalam Kontrak Jual Beli Amanah (Bai’ Al-Amanah) terdapat elemen kejujuran di dalam urusan jual beli tersebut. Penjual secara jujur dan jelas menyatakan harga kos barang yang dijualnya kepada pembeli dan pembeli mengetahui keuntungan yang diperolehi oleh penjual dan pembeli mempersetujuinya.