Oleh:
Muhammad Yazid Othman
Pada 18 Julai 2009 di Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Pahang , Hakim Datuk Abdul Rahman Yunus telah menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan ke atas Kartika Sari Dewi Shukarno selepas didapati bersalah mengambil minuman keras di khalayak ramai di sebuah hotel di Cherating, Pahang.
Namun hukuman yang dijatuhkan oleh pihak mahkamah ke atas Kartika telah dipertkaikan oleh segelintir pihak ini termasuklah Sister In Islam. Di pihak Kartika, beliau nekad untuk tidak membuat rayuan ke atas hukuman itu, malah begitu ingin menjalani hukuman tersebut dengan segera. Ini kerana beliau telah insaf di atas kesalahan yang dilakukannya dan dengan rela hati menjalani hukum tersebut. Tindakan Kartika tersebut turut disokong oleh ahli keluarganya terutama ayahnya.
LATAR BELAKANG KES
Pada 18 Julai 2009 di Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Pahang , Hakim Datuk Abdul Rahman Yunus telah menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan ke atas Kartika Sari Dewi Shukarno selepas didapati bersalah mengambil minuman keras di khalayak ramai di sebuah hotel di Cherating, Pahang.
Namun hukuman yang dijatuhkan oleh pihak mahkamah ke atas Kartika telah dipertkaikan oleh segelintir pihak ini termasuklah Sister In Islam. Di pihak Kartika, beliau nekad untuk tidak membuat rayuan ke atas hukuman itu, malah begitu ingin menjalani hukuman tersebut dengan segera. Ini kerana beliau telah insaf di atas kesalahan yang dilakukannya dan dengan rela hati menjalani hukum tersebut. Tindakan Kartika tersebut turut disokong oleh ahli keluarganya terutama ayahnya.
KENYATAAN SISTER IN ISLAM DAN NGO LAIN
BERKENAAN KES SEBATAN KE ATAS KARTIKA
KENYATAAN MEDIA
Hentikan Sebatan. Hentikan Sebatan ke atas Kartika
Kumpulan Tindakan Bersama untuk Persamaan Jantina (JAG), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Malaysia (HAKAM) memandang dengan amat serius terhadap Panel Rayuan Kehakiman Mahkamah Tinggi Syariah Pahang yang telah mendengar dan membuat keputusan terhadap semakan ke atas hukuman sebat untuk Kartika Dewi Shukarno (Kartika) tanpa kehadiran pihak berkenaan yang ingin membentangkan hujahan, atau mengumumkan perbicaraan tersebut kepada umum.
Tambahan pula, pada 18 September 2009, Sisters In Islam (SIS) telah memfailkan satu permohonan semakan kehakiman untuk mendapatkan perintah penggantungan atau pindaan atau pembatalan terhadap pelaksanaan hukuman sebat ke atas Kartika, dan permohonan ini masih belum didengar oleh Mahkamah Tinggi Syariah Pahang.
Kami juga berasa hairan dengan kepantasan mahkamah Syariah yang mahu hukuman tersebut dijalankan secepat mungkin sedangkan banyak organisasi masyarakat sivil dan ramai individu dan terpelajar yang terkemuka menyatakan rasa bimbang mereka terhadap kesesuaian hukuman denda sebanyak RM5,000, enam sebatan yang dikenakan ke atas Kartika, seorang pesalah kali pertama, yang telah pun mengaku bersalah dan menyatakan rasa sesal beliau sehingga kini.
Kami berasa bimbang kerana Mahkamah Syariah telah mengambil tindakan berdasarkan kenyataan yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang dipertanggungjawabkan terhadap hal ehwal agama Islam, Mej-Gen (B) Datuk Jamil Khir Baharom (“Syariah court to have more bite”, NST, 24 April 2009) bahawa kekurangan pelaksanaan hukuman sebat “merupakan antara faktor yang menjadi sebab peningkatan jenayah syariah setiap tahun kerana masyarakat merasakan undang-undang tersebut adalah terlalu remeh.” Kenyataan yang dibuat oleh Menteri tersebut adalah tidak tepat dengan mengaitkan kekurangan hukuman sebat sebagai faktor peningkatan di dalam “jenayah syariah” kerana kajian telah menunjukkan bahawa hukuman sebat, seperti mana hukuman dera, bukan satu langkah pencegahan yang berkesan terhadap perbuatan melakukan jenayah.
Hakikat bahawa Kartika sendiri nampaknya ingin hukuman sebat tersebut dijalankan ke atasnya tidak sepatutnya menghalang pihak berkuasa untuk melakukan sesuatu dengan adil dan penuh belas kasihan dalam semua konteks kes tersebut. Sebagai pembela hak asasi manusia, kami berkomited untuk mendapatkan perlakuan yang melindungi hak asasi beliau serta juga mereka yang lain dalam keadaan yang serupa, serta untuk memastikan bahawa tidak terdapat kemerosotan standard hak asasi manusia di Malaysia.
Keputusan yang dibuat oleh Kartika boleh dibandingkan dengan keputusan yang dibuat oleh balu beragama Hindu pada masa lampau. Amalan ‘sati’ (kini terlarang di India) di mana balu yang masih hidup dibakar bersama-sama mayat suaminya. Terdapat percanggahan pendapat tentang jika seseorang balu memilih untuk mengorbankan dirinya, mereka yang lain tidak boleh campur tangan. Jelasnya, ini bukanlah satu amalan yang tidak boleh dibiarkan berdasarkan prinsip pilihan bebas.
Isu penting di sini adalah kemerosotan standard hak asasi yang digunakan di negeri Pahang. Jika hukuman sebat dilakukan ke atas seorang wanita di bawah undang-undang Syariah, ia akan mewujudkan satu preseden yang buruk di Malaysia – terutama sekali apabila kaum wanita telah dinyatakan dengan jelas - tidak boleh disebat di bawah S289 Kanun Acara Jenayah.
Jika Kartika dikenakan hukuman sebat, persepsi terhadap Malaysia sebagai sebuah negera Islam yang sederhana akan tergugat selama-lamanya.
Kami menggesa agar pihak Kerajaan Persekutuan dan Negeri mengkaji semula hukuman sebat sebagai satu bentuk hukuman kerana ia mencabuli prinsip hak asasi manusia antarabangsa yang menganggap hukuman sebat dan bentuk hukuman dera yang lain sebagai kejam, tidak berperikemanusiaan dan perlakuan yang menjatuhkan maruah.
Dalam kes Kartika, kami berasa amat khuatir kerana prinsip am penjatuhan hukuman tidak digunakan: beliau adalah seorang pesalah kali pertama, beliau berasa sesal dan telah mengaku bersalah, dan tidak terdapat keganasan dalam perbuatan melakukan kesalahan tersebut. Hukuman beliau tidak setimpal sama sekali dengan kesalahan yang dilakukan.Kami turut menggesa agar pihak Kerajaan Persekutuan dan Negeri mengadakan kajian semula yang komprehensif ke atas undang-undang kesalahan jenayah Syariah, dengan tujuan memansuhkan undang-undang sedemikian. Pada tahun 1997 dan 2005, SIS telah menyerahkan memorandum kepada pihak Kerajaan tentang kesalahan jenayah syariah, membangkitkan pelbagai isu yang membimbangkan termasuklah peruntukan-peruntukan di dalam undang-undang tersebut yang tidak berasaskan teori dan amalan undang-undang Islam, bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, serta juga bercanggah atau bertindan dengan Kanun Keseksaan dan undang-undang persekutuan yang lain.
Akhir sekali, kami ingin mengingatkan pihak berkuasa yang berkaitan bahawa keadilan hendaklah dilembutkan dengan rasa belas ihsan; dan bukan hanya keadilan dilakukan dengan saksama tetapi ianya hendaklah benar-benar dilakukan secara adil agar masyarakat Malaysia berasa yakin dengan proses di mahkamah Syariah.
30 September 2009
Dikeluarkan oleh:
1. Kumpulan Tindakan Bersama untuk Persamaan Jantina (JAG) yang terdiri daripada Sisters in Islam (SIS), Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER), Women's Aid Organisation (WAO), All Women's Action Society (AWAM) and Women’s Centre for Change, Penang (WCC);
2. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM); dan
3. Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Malaysia (HAKAM)
PERCANGGAHAN KENYATAAN SIS DAN AHLI SEKUTUNYA MENURUT PERSPEKTIF HUKUM SYARAK
Berikut adalah antara kenyataan mereka yang diambil dari kenyataan di atas:
“Keputusan yang dibuat oleh Kartika boleh dibandingkan dengan keputusan yang dibuat oleh balu beragama Hindu pada masa lampau. Amalan ‘sati’ (kini terlarang di India) di mana balu yang masih hidup dibakar bersama-sama mayat suaminya.”
Kenyataan ini seolah-olah mereka menyamakan undang-undang dan hukum Islam seperti agama lain sedangkan Islam sangat-sangat berbeza dengan agama lain. Di dalam Al-Quran dinyatakan:
“Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.”
“Jika hukuman sebat dilakukan ke atas seorang wanita di bawah undang-undang Syariah, ia akan mewujudkan satu preseden yang buruk di Malaysia – terutama sekali apabila kaum wanita telah dinyatakan dengan jelas - tidak boleh disebat di bawah S289 Kanun Acara Jenayah. Jika Kartika dikenakan hukuman sebat, persepsi terhadap Malaysia sebagai sebuah negera Islam yang sederhana akan tergugat selama-lamanya.”
Kenyataan ini seolah-olah hukum Islam itu zalim sedangkan hukum Islam adalah satu hukuman yang adil kerana hukum ini datang daripada Allah, di dalam Al-Quran sendiri ayat-ayat berkenaan keadilan diulang sebanyak 20 kali dan ayat yang mengutuk dan membenci kezaliman disebut sebanyak 299 kali. Allah S.W.T. sendiri memerintahkan kita berlaku adil seperti di dalam surah:
“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kekezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.”
“Kami menggesa agar pihak Kerajaan Persekutuan dan Negeri mengkaji semula hukuman sebat sebagai satu bentuk hukuman kerana ia mencabuli prinsip hak asasi manusia antarabangsa yang menganggap hukuman sebat dan bentuk hukuman dera yang lain sebagai kejam, tidak berperikemanusiaan dan perlakuan yang menjatuhkan maruah.”
Satu kenyataan ‘bodoh’ dari golongan yang jahil dan mungkin tidak mahu kepada hukum Islam. Undang-undang Islam adalah undang-undang yang sangat adil. Dari segi logiknya kita dapat melihat pelbagai kerosakan yang disebabkan oleh arak. Hukuman sebatan dalam Islam jelas berbeza dengan hukuman sebatan sivil. Sebagai satu contoh perbandingan sebatan yang dikenakan ke atas pesalah sivil dilakukan dalam keadaan bogel dan sebatan yang dikenakan hingga menyebabkan pesalah mengalami kecederaan yang teruk di punggungnya namun sebatan di dalam Islam cukup berbeza dengan pesalahnya memakai baju yang lengkap dan dirotan dengan benda yang tidak memudaratkan nyawa dan maruahnya terjaga.Hukuman di dalam Islam bukanlah hukuman yang zalim tetapi ianya satu hukuman pengajaran demi kebaikan manusia itu sendiri.
Kelantangan Sister In Islam dan NGO lain menentang hukum sebatan yang dijatuhkan terhadap Kartika juga amat-amat bertentangan dengan hukum Islam. Kerana arak telah jelas dinyatakan haram di dalam Islam, seperti mana yang telah dinyatakan di dalam al-Quran:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
Islam juga secara jelas telah memerintahkan agar orang-orang yang telah sabit kesalahannya meminum arak dikenakan hukuman sebat ke atas mereka. Ini jelas telah dinyatakan di dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W.:
Dari Anas bin Malik R.A. Nabi S.A.W. pernah memukul pesalah minum arak dengan kasut dan pelepah sebanyak 40 kali.
Pelepah ini sini adalah pelepah pohon kurma yang diasingkan daripada daunnya.
Namun begitu pihak pemerintah boleh juga menambahkan hukuman ini kepada 40 sebatan lagi sebagai hukuman takzir, ini terutamanya apabila kes-kes meminum arak dikalangan umat Islam semakin berleluasa seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadis:
Uthman r.a. pernah memerintahkan agar al-Walid bin ‘Uqbah bin Abu Mu’ait disebat. Beliau telah disebat oleh Abdullah bin Ja’afar r.a. dan Ali r.a. mengira sehingga sampai 40. Uthman berkata: “Berhenti.” Kemudian dia berkata pula: “Nabi S.A.W. merotan sebanyak 40 kali, Abu Bakar sebanyak 40 kali dan Umar sebanyak 80 kali, semua ini sunnah tetapi saya lebih suka setakat ini.”
Maksud Uthman ialah beliau lebih suka 40 kali sebatan, ini kerana ia merupakan amalan Rasulullah S.A.W. dan lebih mengambil sikap berhati-hati agar tidak melebihi daripada apa yang sepatutnya dan seterusnya dapat mengelakan melakukan kezaliman kepada pesalah.
Daripada apa dinyatakan di atas berdasarkan dalil-dalil yang diberi maka jelaslah apa yang diperjuangkan oleh Sister In Islam dan lain-lain NGO tersebut adalah bercanggah dengan hukum Islam dan boleh menimbulkan kekeliruan dikalangan umat Islam. Jika dilihat hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah terhadap Kartika adalah lebih ringan berbanding hukuman Islam yang sebenar. Sebenarnya banyak lagi isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak Sister In Islam yang jelas bertentangan dengan hukum-hukum Islam namun di atas ia tidak dimasukkan di dalam tulisan ini kerana ruang yang terhad.
HUKUM MEMPERLEKEHKAN UNDANG-UNDANG ISLAM
Dari apa yang telah dibincangkan di atas jelas kepada kita bahawa golongan-golongan tertentu telah memperlekehkan hukuman sebatan di dalam Islam. Ustaz Abdul Ghani Samsudin di dalam buku yang bertajuk, “Soal Jawab Isu-Isu Mencabar Dalam Islam” telah menyatakan dalam kertas kerja bertajuk, ‘ Gejala Murtad: Pengertian,Implikasi dan Langkah-Langkah Pencegahan’ yang pernah dibentangkan di Wilayah Persekutuan, ada dinyatakan bahawa:
- Setiap perkataan atau ungkapan yang mengandungi penghinaan dan merendah-rendahkan Allah, ayat-ayat, agama, Rasul dan sebagainya maka penuturnya dianggap kafir dan murtad. Ini berlandaskan firman Allah S.W.T. dalam surah At-Taubah ayat 65-66
“Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek- ejekan itu), tentulah mereka akan menjawab: "Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main". Katakanlah: "Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?"
“Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman. Jika Kami maafkan sepuak dari kamu (kerana mereka bertaubat), maka Kami akan menyeksa puak yang lain, kerana mereka adalah orang- orang yang terus bersalah.”
Setiap perkataan atau pertuturan yang dianggap mencaci Allah, agama atau Rasul-Nya dengan perkara yang tidak wajar bagi Allah dan leluhurnya tersebut, maka penuturnya dianggap kafir dan murtad. Kaedah ini berdasarkan firman Allah dalam surah Al-An’Am ayat 108:
“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikian Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.”
Oleh itu pihak-pihak yang beragama Islam yang ingin memperkatakan mengenai undang-undang Islam, Allah & RasulNya dan apa jua berkaitan Islam perlu lebih berhati-hati dan perlu merujuk kepada para Alim-Ulama mengenai apa yang ingin mereka perkatakan itu. Ini kerana jika kata-kata dan perjuangan mereka bercanggah dengan ajaran agama Islam maka kesannya boleh membawa kepada kafir dan murtad, nauzubillah.
Rujukan
Dato’ Dr. Harun Din. 2003. Manusia Dan Islam. Bangi.
Dato, Dr. Harun Din. 2007. Islam Keadilan Membebaskan Manusia.Batu Caves, Selangor: PTS Millenia SDN. BHD
Dr. Yusuf Al-Qaradawi. 2008. Iman Dan Kehidupan. Shah Alam: Dewan Pustaka Fajar
Tuan Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat / Ustaz Abdul Ghani Samsudin. 2009. Petaling Jaya: Kemilau Publika Sdn. Bhd.
Dr. Mustofa Al-Khin, Dr. Mustofa Al-Bugho & All Asy-Syarbaji. 2005. Kitab Fiqh mazhab Syafie Jilid 8. Pustaka Salam Sdn. Bhd.
Muhammad Yazid Othman / Shahidan Hanapiah. 2009. Kajang: Kesamarataan Dalam Undang-Undang Islam: Analisis SIS di Malaysia
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_05.htm