Ahad, 1 Julai 2012

ABU ASWAD AL-DU’ALI : TOKOH PENGASAS ILMU NAHU BAHASA ARAB

Oleh: Muhammad Yazid Othman

Pengenalan
Bahasa Arab adalah merupakan bahasa utama yang mana ia bukan sahaja merupakan bahasa utama kehidupan di dunia tetapi ia juga merupakan bahasa di alam syurga. Bagi umat Islam bahasa Arab menjadi begitu penting kerana ia merupakan bahasa al-Quran dan juga bahasa Hadis yang menjadi sumber utama hukum-hakam di dalam Islam.

Bagi memahami bahasa Arab dengan kefahaman yang betul maka seseorang itu perlulah menguasai kaedah-kaedah di dalam bahasa tersebut. Ilmu Nahu adalah merupakan kaedah di dalam bahasa Arab yang bertujuan mengelakkan berlakunya kesalahan di dalam penggunaan bahasa. Mungkin sesetengah pihak menganggap remeh mengenai kesalahan di dalam  penggunaan bahasa namun tidak ramai yang menyedari bahawa kesalahan penggunaan bahasa Arab memberi kesan yang besar terhadap umat Islam.
Antara kesan yang besar terhadap umat Islam akibat kesalahan di dalam penggunaan bahasa Arab ialah ia akan menyebabkan maksud sesuatu perkataan itu menjadi terpesong dari maksudnya yang sebenar ia akan menjadi lebih buruk seandainya melibat ayat-ayat al-Quran dan Hadis yang berkaitan Aqidah umat Islam.

Biografi Abu Aswad al-Du’ali
Tiga tahun sebelum Nabi Muhammad S.A.W. diangkat menjadi nabi lahirlah seorang tokoh yang terkenal di dalam ilmu Nahu iaitu Abu Aswad al-Du’ali, beliau dari kalangan keturunan kinanah. Nama penuh beliau ialah Zalim b. ‘Amru b. Sufyan b. Jandal b. Ya’mur b. Hils b. Nufathah b. ‘Adiyy b. al-Du’al b. Bakr b. Kinanah.

Sungguhpun Abu Aswad al-Du’ali lahir pada zaman Nabi Muhammad S.A.W. namun beliau bukanlah dari kalangan sahabat Nabi Muhammad S.A.W. tetapi beliau adalah dari kalangan tabiin. Ini adalah disebabkan beliau tidak pernah berjumpa dengan Nabi Muhammad S.A.W. Pada zaman Khalifah Umar al-Khattab, Abu Aswad al-Du’ali telah berhijrah ke Basrah dan menetap di sana. Sebuah masjid yang didirikan di sana dinamakan sempena nama beliau.

Hubungan Abu Aswad al-Du’ali dengan Saidina Ali bin Abi Talib sangat rapat dan beliau akan sentiasa menyebelahi Ali R.A di dalam apa jua situasi. Keakraban di antara Abu Aswad al-Du’ali dan juga Ali R.A. menyebabkan Mu’awiyah telah cuba mengambil hati Abu Aswad al-Du’ali untuk menyebelahinya namun disebabkan Abu Aswad al-Du’ali begitu setia dengan Ali R.A. maka usaha Mu’awiyah untuk memujuk beliau telah gagal.

Abu Aswad al-Du’ali pernah keluar berperang bersama-sama Ali R.A. di dalam peperangan al-Jamal dan Siffin. Ketika di dalam peperangan al-Jamal, Abu Aswad al-Du’ali telah dihantar oleh gebenor Basrah pada ketika itu iaitu Uthman b. Hanif untuk menjadi utusan perbincangan manakala Abdullah b. Abbas pula pernah melantik Abu Aswad al-Du’ali untuk mengetuai tentera Islam di dalam memerangi pihak Khawarij di kawasan Basrah.

Sumbangan Abu Aswad al-Du’ali Di Dalam Ilmu Nahu Bahasa Arab
Ali R.A. adalah merupakan guru kepada Abu Aswad al-Du’ali di mana Abu Aswad al-Du’ali telah mempelajari ilmu Fiqh, al-Quran serta ilmu Nahu dari Ali R.A. mungkin disebabkan ini jugalah menjadikan hubungan Abu Aswad al-Du’ali dengan Ali R.A. menjadi begitu rapat.  Selain menuntut ilmu dengan Ali R.A. Abu Aswad al-Du’ali turut meriwayatkan hadis daripada beliau. Selain meriwayatkan hadis daripada Ali R.A., Abu Aswad al-Du’ali juga ada meriwayatkan hadis daripada Ibn Abbas, Ibn Mas’ud dan Abu Dhar al-Ghifari R.A.

Berkembangnya Islam menyebabkan berlaku percampuran di antara orang Arab dan juga bangsa-bangsa lain yang bukan berbangsa Arab (orang Ajam). Keadaan ini juga menyebabkan berlakunya percampuran bahasa di antara orang Arab dan juga bukan Arab yang mengakibatkan kerosakan di dalam bahasa Arab atau disebut lahn[1] ( (لحن).

Situasi ini sekiranya dibiarkan akan memberi kesan buruk kepada bahasa Arab yang juga merupakan bahasa al-Quran dan juga bahasa Hadis. Prihatin dengan perkara ini maka Ali R.A. telah meminta Abu Aswad al-Du’ali untuk menyusun ilmu berkaitan Nahu. Kisah ini telah diriwayatkan di mana pada satu ketika Abu Aswad al-Du’ali telah datang mengadap Ali R.A. pada waktu itu terdapat lembaran kertas di tangan Ali R.A., Abu Aswad al-Du’ali pun bertanya kepada Ali R.A. tentang kertas tersebut. 

Kemudian Ali R.A. telah menjawab beliau berhajat untuk menyusun mengenai bahasa Arab supaya ia boleh menjadi rujukan dan panduan kepada orang-orang Arab yang mana bahasanya telah tercemar akibat pergaulan dan percampuran mereka dengan orang-orang yang bukan berbangsa Arab. Setelah itu Ali bin Abi Talib R.A. telah meminta Abu Aswad al-Du’ali untuk meneruskan tugas tersebut. Maka Abu Aswad al-Du’ali menjalankan tugas yang telah diarahkan oleh Saidina Ali R.A. di dalam  menyusun kaedah Nahu demi menjaga keaslian bahasa Arab dari tercemar dan rosak. Kisah ini adalah merupakan hujjah yang mengaitkan Abu Aswad al-Du’ali sebagai tokoh pengasas ilmu Nahu.

Meletakkan Titik Pada Huruf al-Quran
Selain terlibat menyumbang bakti di dalam penyusunan kaedah Nahu bahasa Arab, Abu Aswad al-Du’ali juga terlibat di dalam meletakkan titik / nuqat pada huruf-huruf di dalam bahasa Arab / ayat-ayat al-Quran. Tulisan atau huruf-huruf bahasa Arab / ayat-ayat al-Quran yang mempunyai titik seperti yang kita lihat pada zaman ini pada asalnya huruf-huruf tersebut tidak mempunyai titik tetapi ia ditambah kemudian. Arahan untuk meletakkan titik / nuqat pada huruf Hijaiyah telah dibuat oleh Ziad bin Abu Ziad seorang pemimpin Basrah pada zaman pemerintahan Khalifah Mu’awiyah bin Abu Sufian.

Penutup
Abu Aswad al-Du’ali yang datang dari keturunan Kinanah memberi telah kelebihan kepada beliau sebagai individu yang fasih di dalam bahasa Arab. Kelebihan yang dimiliki oleh beliau telah menarik perhatian pemerintah pada zamannya untuk diberi kepercayaan di dalam urusan yang berkaitan bahasa.
Ketokohan Abu Aswad al-Du’ali di dalam bidang bahasa Arab turut telah melahirkan murid-murid di dalam bidang bahasa Arab. Antara murid-murid beliau adalah, Abdul Rahman b. Hurmuz, Nasr b. ‘Asim, Yahya b. Ya’mur, ‘Ata b. Abu al-Aswad, ‘Anbasah b. Ma’dan, Maymun al-Aqran, Qatadah b. Du’amah, Abu Nawfal b. Abu ‘Aqrab, Sa’d b. Syaddad dan lain-lain.
Setelah sekian lama menabur bakti di dalam ilmu bahasa Arab akhirnya pada tahun 69 Hijrah  Abu Aswad al-Du’ali telah meninggal dunia di Basrah pada usia 85 tahun akibat penyakit taun. Abu Aswad al-Du’ali telah meninggalkan empat orang zuriat iaitu ‘Ata dan Harb berserta dua orang anak perempuan.
Sesungguhnya jasa-jasa beliau dalam pengasasan ilmu Nahu Arab tercatat di  dalam sejarah pengajian ilmu bahasa Arab dan akan terus dikenang selamanya.

Rujukan
Abu Mardhiyah.Tajwid Al-Quran, Qiraat ‘Aashim – Riwayat Hafsh Toriq al-Syatibi Jilid 1 & 2. 2007. Kuala Lumpur: Al-Jenderaki Enterprise

Kamus Dewan Edisi Keempat.2007. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamarul Shukri Mat Teh. Perkembangan Awal Nahu Arab. 2010. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka.


[1] Lahn bermaksud kesalahan di dalam meletakkan baris atau irab pada perkataan atau sebutan di

dalam bahasa Arab

HADIS DHAIF DAN HUKUM BERAMAL DENGANNYA

Oleh: Muhammad Yazid Othman

Pengenalan
Nabi Muhammad S.A.W. merupakan pembawa Rahmat kepada sekalian alam yang telah Allah anugerahkan kepada kita semua seperti mana yang telah dinyatakan di dalam al-Quran:

Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam.

Sebagai utusan Allah, Nabi Muhammad S.A.W. membawa bersamanya al-Quran sebagai panduan kepada umat manusia dan jin seperti mana yang dinyatakan di dalam al-Quran:
Maksudnya: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).
                                                                                                                                               
Walaupun wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W. merupakan panduan atau pun sumber utama hukum Islam namun ia bukanlah satu-satunya sumber hukum atau sumber panduan kepada umat Islam. 


Apa yang terdapat di dalam al-Quran diperjelaskan lagi melalui apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad S.A.W. sama ada dari perkataan, perbuatan, pengakuan atau ketetapan dan sifat-sifatnya[1] dan ianya dipanggil hadis atau di panggil al-Sunnah.


Hujjah yang mengatakan bahawa apa yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. adalah sebagai panduan untuk umat Islam adalah berdasarkan hadis:

 
  عَلَيْكُـمْ بسُنَّتِـي وَسُنَّةِ  الْخُلَفَـاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيـِّـيـنَ عـَضُّـوا عَـلَيْـهَـا بِالـنَّـوَاجِذِ
Maksudnya: Wajib ke atas kamu mengikut al-Sunnah ku dan juga al-Sunnah Khulafa’ Rasyidin selepas ku. Hendaklah kamu gigitnya dengan gigi geraham kamu. (hadis riwayat Imam Abu Daud, Sunan Abu Daud Halaman 281, Jilid 4, Beirut: Dar al-Fikr)[2].


Jenis-Jenis Hadis
Sebelum membicarakan mengenai hadis dhaif ada baiknya kita melihat jenis-jenis hadis secara umum. Di dalam pengkategorian hadis terdapat 5 kategori hadis iaitu hadis Sahih, hadis Hasan, hadis Dhaif dan juga hadis Maudu’. 

Hadis Sahih
Hadis Sahih adalah hadis yang telah melalui atau menepati syarat-syarat hadis Sahih yang telah digubal oleh para ulama hadis. Syarat-syarat hadis Sahih ialah:
1. Hadis yang diriwayatkan bersambung sanadnya dari seorang perawi hingga kepada perawi yang sebelumnya dan begitulah seterusnya sehingga sampai kepada Rasulullah S.A.W.
2. Perawi-perawi hadis tersebut hendaklah seorang yang adil[3].
3. Perawi-perawi hadis tersebut juga hendaklah terdiri daripada perawi-perawi yang sempurna kedhabitannya.
4. Tiada syaz (keraguan / keganjilan) pada hadis tersebut.
5. Tiada Illat atau pun kecacatan pada hadis itu.

Hadis Hasan
 Hadis Hasan pula adalah hadis yang rendah sedikit tarafnya / martabatnya daripada hadis Sahih. Di mana hadis Hasan tidak memenuhi salah satu daripada syarat-syarat hadis Sahih iaitu di dalam sanad hadis tersebut terdapat perawi hadis yang kurang dhabit (kurang ingatannya).


Hadis Dhaif
Hadis Dhaif ialah hadis yang tidak memenuhi syarat-syarat hadis Sahih dan juga hadis Hasan. Hadis inilah yang akan diperbincangkan di dalam penulisan ini.

Hadis Maudu’
Hadis Maudu’ ialah hadis merupakan hadis palsu yang direka oleh sesetengah pihak yang mempunyai kepentingan atau agenda yang tersendiri. Hadis pada taraf Maudu’ adalah tertolak dan langsung tidak boleh digunakan sebagai hujjah dan untuk apa tujuan sekali pun kecuali untuk menerangkan kedudukan dan status hadis tersebut agar orang ramai tahu bahawa hadis itu adalah hadis palsu dan dengan itu dapat menjauhkan diri daripada terlibat di dalam penyebaran atau pun beramal dengan hadis tersebut. Ini kerana hadis palsu adalah satu pembohongan terhadap Rasulullah S.A.W. dan membuat pembohongan terhadap Rasulullah S.A.W. adalah satu perbuatan yang haram dan berdosa besar. Hadis Rasulullah S.A.W. :



من كذب على متعمدا فليتبوأ مقعده من النار
Maksudnya: Sesiapa yang mendustai ku dengan sengaja maka bersedialah tempatnya di neraka

Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim

Punca Sesebuah Hadis Menjadi Taraf Hadis Dhaif
Hadis Dhaif seperti yang telah diterangkan sebelum ini adalah merupakan hadis yang lemah disebabkan tidak menepati salah satu atau lebih syarat-syarat yang terdapat pada hadis Sahih atau hadis Hasan.  Antara yang menyebabkan berlakunya hadis tersebut tidak memenuhi syarat hadis Sahih atau hadis Hasan ialah kerana:
1. Terputusnya sanad hadis
2. Terdapat di antara perawi hadis tersebut tidak adil[4]
3. Terdapat juga di antara perawi hadis tersebut yang lemah ingatannya
4. Timbulnya atau wujudnya syaz (keraguan, keganjilan) pada hadis tersebut
5. Terdapat Illat (kecacatan) pada hadis tersebut

Hukum Beramal Dengan Hadis Dhaif
Di dalam menyatakan mengenai hukum beramal dengan hadis Dhaif, para ulama hadis telah berselisih pandangan mengenainya namun begitu jumhur ulama telah mengharuskan menggunakan hadis Dhaif bagi tujuan Fadhail al-Amal (kelebihan beramal). Menggunakan hadis Dhaif bagi tujuan Fadhail Amal adalah dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan seperti yang telah dinyatakan oleh al-Imam al-Hafiz Ibn Hajar[5] iaitu:
1. Hadis tersebut hendaklah tidak terlalu Dhaif
2.Sesuatu hadis itu menggambarkan sesuatu amalan yang bersandarkan kepada hadis Sahih atau hadis Hasan yang lain iaitu ia mempunyai asal dalam hadis Sahih atau hadis Hasan yang lain
3. Tidak berikhtikad ketika beramal dengannya bahawa hadis tersebut sabit daripada Rasulullah S.A.W.

Kitab Yang Menghimpunkan Hadis Dhaif
Para ulama hadis telah menghimpunkan hadis-hadis Dhaif di dalam kitab-kitab penulisan mereka. Antara kitab-kitab yang mahsyur yang menghimpunkan hadis Dhaif ialah:
1. Mizan al-Iktidal karangan Imam al-Dhahabi
2. al-Marasil karangan Imam Abu Daud
3. al-Ilal karangan Imam al-Daraqutni

Penutup
Para ulama hadis pada zaman lalu telah berusaha secara bersungguh-sungguh di dalam menjaga keautoritian khhazanah hadis agar terpelihara daripada dicemari unsur-unsur yang boleh merosakkan keautoritian hadis. Ini kerana hadis akan dinisbahkan kepada Rasulullah S.A.W. Terjejasnya autoriti hadis akan menyebabkan timbulnya pertikaian terhadap diri Rasulullah S.A.W. apatah lagi musuh-musuh Islam sentiasa mencari ruang untuk memburuk-burukan Rasulullah S.A.W. dan juga ajaran Islam yang dibawa oleh Baginda S.A.W.
Dengan terjaganya maqam hadis maka akan turut menjaga reputasi Rasulullah S.A.W. dan dengannya akan menyebabkan tertutupnya pintu-pintu bagi  musuh-musuh Islam untuk memburuk-burukan Baginda S.A.W. seterusnya menyelamatkan umat Islam menjadi ragu-ragu terhadap ajaran Islam.
Pembahagian darjat hadis-hadis yang dilakukan oleh para ulama hadis adalah demi menjaga keautoritian hadis.

Rujukan
Mohd. Muhiden Abd. Rahman. 2010. Ulum al-Hadith Lengkap dengan Takhrij al-Hadith dan Pengajian Sanad Hadith .  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Manna’ Khalil al-Qathan. 2006. Cara Mudah Memahami Ilmu-Ilmu Hadith. (terj). Kuala Lumpur: Pustaka Jiwa Sdn. Bhd.
Prof. Dr. Haji AbdulMalik AbdulKarim Amrullah (HAMKA). Tafsir Al-Azhar. Penerbit Pustaka Panjimas, Jakarta.









[1]  Mohd. Muhiden Abd. Rahman. Ulum al-Hadith Lengkap dengan Takhrij al-Hadith dan Pengajian Sanad Hadith

[2] Mohd. Muhiden Abd. Rahman. 2010. Ulum al-Hadith.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.Halaman 15

[3] Syarat-syarat adil ialah, perawi tersebut hendaklah seorang Islam, baligh, berakal dan tidak fasiq serta tidak tercemar maruahnya (lihat halaman 134 cara-cara memahami ilmu-ilmu hadis, Manna Khalil al-Qathan)
[4][4] Maksud adil adil ialah, perawi tersebut hendaklah seorang Islam, baligh, berakal dan tidak fasiq serta tidak tercemar maruahnya
[5][5] Ulum Hadis halaman 77