Oleh: Muhammad Yazid Othman
Pengenalan
Al-Quran dan Al-Sunnah adalah
merupakan sumber Islam yang utama di dalam menggubal undang-undang Islam. Namun
proses pengeluaran hukum dari dua sumber yang utama ini bukanlah boleh diambil
terus secara zahir semata-mata sebaliknya proses pengeluaran hukum dari dua
sumber ini adalah berdasarkan kaedah-kaedah tertentu yang telah ditetapkan atau
digariskan oleh Islam. Hikmahnya adalah agar hukum hakam yang hendak
dikeluarkan itu benar-benar menepati apa yang dikehendaki dan diperintahkan
Allah dan bukan berdasarkan hawa nafsu
manusia. Keperluan para mufti, para ulama, dan juga masyarakat awam memahami mengenai
kaedah ini juga adalah sangat penting kerana umat Islam sering berhadapan
dengan permasalahan fiqh baru yang timbul akibat peredaran zaman dan juga perubahan
masa. Jesteru itu dengan menggunakan kaedah fiqh sesuatu permasalahan fiqh itu
akan lebih mudah diselesaikan.
Definisi Qawaid Fiqhiyyah /
Kaedah Fiqh
Qawaid Fiqhiyyah atau kaedah
Fiqh adalah merupakan salah satu cara atau kaedah untuk mengeluarkan / menginstinbat
sesuatu hukum hakam dan mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Qawaid
dari segi bahasa adalah bermaksud asas dan menjadi paksi kepada sesuatu sama
ada berbentuk fizikal seperti tiang rumah atau berbentuk abstrak seperti tiang
agama.
Makna ini boleh dilihat sebagaimana
firman Allah di dalam al-Quran:
Maksudnya: Dan (ingatlah)
ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas
(tapak) Baitullah (Ka`abah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata:
"Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami) sesungguhnya
Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Qawaid atau kaedah fiqh dari segi
istilah pula adalah bermaksud:
hukum kulliyy (menyeluruh) atau
kebanyakan (majoriti) yang dengannya boleh diketahui hukum juz’iyyat.
Apa yang dapat difahami di sini
ialah Qawaid Fiqhiyyah atau kaedah fiqh ialah proses mengeluarkan
hukum yang bersifat umum.
Kaedah الضرر يزال (addharar yuzal) (Kemudaratan
Dihapuskan)
Kaedah الضرر يزال adalah bermaksud apa jua perkara yang
boleh menyebabkan berlakunya kemudaratan wajib dihapuskan / dihilangkan Ini
termasuklah sekiranya kemudaratan itu berlaku terhadap seseorang individu,
masyarakat dan juga negara.
Dengan ini dapat kita fahami
bahawa sekiranya berlaku kemudaratan terhadap mana-mana pihak maka wajiblah
kemudaratan itu dihilangkan dari terus berlaku terhadap pihak tersebut.
Antara dalil bagi kaedah الضَرَر يُزَال ialah hadis Rasulullah
S.A.W.
لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ
Maksudnya: Tiada kemudaratan dan tidak memudaratkan
Dalil dari
al-Quran, Firman Allah surah al-Nisa’ ayat 5
Maksudnya: Dan janganlah kamu berikan
(serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka
yang ada dalam jagaan) kamu.
Dadah
Dadah adalah merujuk kepada 1. Ubat-ubatan
2. Bahan (spt ganja, heroin, marijuana, dsb) yg merosakkan atau membinasakan orang
yg menggunakannya berlanjutan (merosakkan kesihatan, membawa maut, dll).
Berdasarkan definisi dadah
seperti yang dinyatakan di atas jelas kepada kita bahawa dadah boleh dijadikan
ubat tetapi jika disalahgunakan ia juga boleh merosakkan dan membinasakan kehidupan
penggunanya.
Kesan Penyalahgunaan Dadah
Penyalahgunaan dadah memberi
kesan negatif yang besar terhadap penggunanya atau lebih dikenali di dalam
masyarakat sebagai penagih dadah. Kesan negatif yang besar akibat
penyalahgunaan dadah juga turut memberi kesan kepada masyarakat dan negara.
Kehidupan masyarakat terganggu
dengan kehadiran penagih dadah di dalam komuniti kejiranan mereka. Ketagihan
yang dialami oleh para penagih dadah menyebabkan mereka sentiasa memerlukan
wang untuk membeli dadah bagi memenuhi keinginan ketagihan mereka. Apa yang
dialami oleh para penagih ini membuatkan mereka hilang pertimbangan hingga menyebabkan
mereka terlibat dengan jenayah seperti mencuri barang-barang jiran tetangga dan
ada kalanya sampai kepada peringkat membunuh ia boleh dilihat berdasarkan laporan
akhbar Berita Harian seperti di bawah:
Lelaki tetak kepala ibu
Oleh Omar Osman
bhnews@bharian.com.my
2012/02/22
SUNGAI PETANI: Hanya kerana gagal
mendapatkan wang daripada ibunya, seorang lelaki bertindak zalim dengan menetak
kepala wanita tua itu menggunakan parang dalam kejadian di Kampung Padang
Buloh, Sidam Kiri, di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11
pagi itu, mangsa, A’inshon Abdul Rahman, 60, cedera parah di kepala selepas
ditetak anak bongsunya itu menggunakan parang sepanjang hampir satu meter
ketika mangsa sedang menggoreng sayur di dapur rumahnya untuk juadah makan
tengah hari.Mayat mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah terbaring di
bahagian dapur oleh peniaga ikan yang kebetulan melalui kawasan berkenaan sebelum
memaklumkan kepada anak saudara mangsa yang tinggal berdekatan rumah wanita
itu.
Difahamkan, suspek yang juga
seorang penagih dadah berusia 26 tahun, dikatakan naik berang selepas
permintaannya mendapatkan wang daripada ibunya tidak diendahkan mangsa sehingga
menyebabkan dia bertindak ganas. Selepas menetak ibunya, suspek melarikan diri
bagi mengelak diberkas polis. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten
Komisioner Mohd Zakaria Ahmad, berkata polis menerima maklumat kira-kira jam
1.10 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian dan menemui mangsa dalam
keadaan terbaring berlumuran darah di ruang dapur rumahnya.
“Mangsa yang cedera parah
dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian. Polis juga menemui parang
dipercayai digunakan suspek untuk menetak mangsa di kawasan berdekatan,”
katanya.
Beliau berkata, polis berjaya
menahan suspek yang melarikan diri di tengah sawah, kira-kira dua kilometer
dari lokasi kejadian. “Polis akan menjalankan siasatan menyeluruh termasuk
mengenal pasti sama ada suspek mengalami gangguan mental kerana dikatakan
pernah mengambil ubat penenang daripada klinik berdekatan rumahnya. “Kes ini
disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Laporan akhbar di atas hanyalah
sebahagian senario kesan penyalahgunaan dadah. Pelbagai kesan-kesan negatif
yang lain boleh berlaku akibat ketagihan dadah.
Dasar Dadah Negara
Melihatkan kesan buruk penagihan
dadah begitu besar maka kerajaan Malaysia pada tahun 1983 telah mewujudkan
Dasar Dadah Negara. Ia telah diisytiharkan oleh Y.A.B. Tun Dr.Mahathir bin
Mohamad, bekas Perdana Menteri Malaysia pada 19 Februari 1983 semasa
melancarkan Kempen Anti Dadah.
Kandungan Dasar Dadah Negara
ialah:
‘Mewujudkan Negara Malaysia bebas dari ancaman gejala dadah menjelang tahun
2015 bagi menjamin kesejahteraan hidup masyarakat dan mengekalkan kestabilan
dan ketahanan nasional’.
Strategi Dasar Dadah
Bagi menjayakan Dasar Dadah
Negara, Strategi Dasar Dadah telah digubal di mana kandungannya ialah:
Pendidikan Pencegahan dan
Publisiti, Rawatan dan Pemulihan, Penguatkuasaan Undang-undang dan Kerjasama
antarabangsa.
Hukuman Mati Bagi Pesalah
Mengedar Dadah Di Malaysia
Bagi menyelesaikan sesuatu
masalah, punca terjadinya masalah itu perlulah
dicari bagi menyelesaikan masalah tersebut. Sebagai contoh di dalam
menyelesaikan masalah penyakit demam denggi kita hendaklah menghapuskan nyamuk Aedes
yang menjadi punca menyebabkan terjadinya penyakit demam denggi tersebut.
Penghapuskan nyamuk Aedes bukan sekadar dengan melakukan proses
penyemburan racun bagi membunuh nyamuk tersebut tetapi ia turut meliputi
pemusnahan tempat pembiakan bagi nyamuk itu seperti tin-tin kosong yang berair,
tayar-tayar lama berair dan sebagainya.
Begitu juga dengan penyalahgunaan
dadah, antara puncanya ialah penagih mendapat bekalan yang mencukupi dari
pembekal atau pengedar dadah yang membekalkan dadah kepada penagih.
Segala usaha kerajaan seperti
mewujudkan Pusat Pemulihan Dadah, menjalankan kempen-kempen kesedaran mengenai
kesan buruk akibat penyalahgunaan dadah akan menjadi sia-sia sekiranya dadah
masih lagi berlegar secara berleluasa di dalam masyarakat serta mudah didapati dari
pembekalnya.
Oleh kerana pembekal dadah adalah
merupakan ibu kepada penyalahgunaan dadah di dalam masyarakat dan negara
maka kerajaan telah mewujudkan satu undang-undang yang agak tegas agar dapat
mencegah perbuatan tersebut.
Bagi merealisasikan Dasar Dadah
Negara di dalam mencegah pengedaran serta penjualan dadah maka Seksyen 39 B dan
Seksyen 39 A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 telah digunakan terhadap pesalah
yang melakukan kesalahan tersebut di mana ia membawa hukuman mati atau penjara
seumur hidup jika sabit melakukan kesalahan tersebut. Ia akan diperbincangkan dengan
lebih lanjut di dalam tajuk Hubungkait Kaedah الضَرَر يُزَال Dengan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya
1952.
Hubungkait Kaedah الضَرَر يُزَال Dengan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952
Seperti mana yang telah
diterangkan mengenai kaedah fiqh الضرر يزال, jelas menunjukkan bahawa kaedah ini
adalah bertujuan untuk menghapuskan apa-apa jua kemudaratan dari terus
ditanggung / dibebani oleh mana-mana pihak.
Melihat kepada kesan mudarat yang
disebabkan oleh penyalahgunaan dadah maka langkah mengatasinya dengan
mewujudkan undang-undang yang berkaitan dengannya bagi tujuan menghapuskan
mudarat yang disebabkan oleh penyalahgunaan dadah adalah menepati kaedah ini.
Jika dilihat undang-undang di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952
dinyatakan bahawa:
39B.
Pengedaran dadah berbahaya.
(1)
Tiada seorang pun boleh, bagi
pihak dirinya atau bagi pihak mana-mana orang lain, sama ada atau tidak orang
lain itu berada di Malaysia
(a)
mengedarkan dadah berbahaya; atau
(b)
menawar untuk mengedarkan dadah berbahaya;
atau
(c)
melakukan atau menawar atau
melakukan sesuatu perbuatan sebagai persediaan untuk atau bagi maksud
pengedaran dadah berbahaya.
(2)
Mana-mana orang yang melanggar mana-mana
peruntukan subseksyen (1) adalah melakukan suatu kesalahan terhadap Akta ini
dan jika disabitkan hendaklah dijatuhi hukuman mati.
Apabila melihat kepada Seksyen
39B Akta Dadah Berbahaya 1952 seperti mana di atas, jelas kepada kita bahawa undang-undang
tersebut bertujuan penutup terus pintu mudarat yang utama iaitu
‘pengedaran dadah’ kerana dengan adanya pengedar dadah maka usaha-usaha
pemulihan dan juga kempen-kempen kesedaran bahayanya penyalahgunaan dadah akan
menjadi sia-sia. Oleh demikian dengan menjatuhi hukuman mati terhadap pengedar
dadah maka akan hilanglah kemudaratan yang melanda.
Kesimpulan
Dari apa yang diperbincangkan
mengenai hukuman gantung sampai mati terhadap pengedar dadah berdasarkan
undang-undang yang diperuntukkan di dalam Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952
dan dilihat pula dari perspektif atau deminsi kaedah fiqh الضَرَر يُزَال dapatlah disimpulkan bahawa
undang-undang tersebut adalah menepati dan tidak bercanggah dengan hukum syarak
di mana semua pihak berhak mendapat perlindungan daripada sebarang kemudaratan
yang setiap kemudaratan itu pastinya akan memberi kesan yang buruk dan tidak
baik di dalam kehidupan mereka.
Berdasarkan kaedah fiqh الضَرَر يُزَال juga dapat memberi gambaran bahawa Islam adalah
agama Rahmat yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. yang memberi keadilan
kepada semua pihak di dalam menjaga keharmonian kehidupan manusia tanpa mengira
sama ada mereka Islam atau kafir, miskin atau kaya dan dari kelompok mana
mereka datang, sesuai
dengan firman Allah di dalam al-Quran:
Maksudnya: Dan tiadalah Kami
mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi
sekelian alam.
Akhirnya dari perbincangan di
dalam penulisan ini juga dapat kita simpulkan bahawa kaedah atau qawaid fiqh memberi
kemudahan atau faedah yang besar di dalam memudahkan kita memutuskan sesuatu
hukum di dalam sesuatu perkara. Ia juga memudahkan kita di dalam memahami bagaimana
sesuatu hukum syarak boleh dilakukan dengan menggunakan kaedah fiqh yang
menggunakan metod atau kaedah yang umum.
Rujukan
Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234), Akta Penagih Dadah (Rawatan Dan Pemulihan) 1983 (Akta 283), Peraturan-Peraturan & Kaedah
-Kaedah.
Petaling Jaya: International Law Book Services.
Anuar Fakhri Omar, Dr. Mohd
Nasran Mohamad, Mohammad Zaini Yahaya.2006. Kaedah Fiqh. Bangi: Pusat Kembangan Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia
Kamus
Dewan Edisi Keempat.2007. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka.
Prof. Dr. Haji AbdulMalik AbdulKarim Amrullah (HAMKA). Tafsir Al-Azhar. Penerbit Pustaka Panjimas, Jakarta.
http://www.adk.gov.my/web/guest/dasar-dadah-negara
http://www.bharian.com.my/articles/Lelakitetakkepalaibu/Article/