Selasa, 13 September 2011

MASYARAKAT MAJMUK DI MALAYSIA: CABARAN DAN PENYELESAIAN

Oleh:
Muhammad Yazid Othman


PENDAHULUAN

Sebelum kita memperkatakan mengenai masyarakat majmuk sebaiknya terlebih dahulu kita melihat kepada maksud kepada perkataan majmuk tersebut. Di dalam Kamus Dewan, terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka Edisi Keempat ia memberi makna:

"terdiri atau terbentuk daripada beberapa bahagian dan sebagainya tetapi merupakan kesatuan"

di dalam Kamus Besar Bahasa Indonesia ia memberi makna:

"terdiri atas beberapa bagian yang merupakan kesatuan"

dari makna di atas dapat kita fahami bahawa ianya merupakan satu pecahan-pecahan dari beberapa bahagian tetapi masih bersama dan menjadi satu kesatuan.

Dari segi sejarah sebelum negara Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963 negara ini dikenali sebagai Tanah Melayu. Pada ketika itu populasi masyarakatnya didominasi oleh orang-orang Melayu dan pada ketika itu juga tidak timbul sebarang permasalahan yang ketara di antara kaum dan agama. Namun setelah pihak Inggeris membawa masuk pekerja-pekerja India dari negara India dan pelombong-pelombong bijih dari negara China maka bermulalah era masyarakat majmuk yang akhirnya menimbulkan sedikit permasalahan yang agak ketara di negara ini. Statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia kemaskini pada 02 Julai 2010, menunjukkan bahawa penduduk Malaysia kini berjumlah 28.25 juta yang terdiri dari pelbagai bangsa dan agama. Dengan jumlah rakyat yang sebegini besar pastilah banyak cabarannya ini kerana setiap kaum mempunyai budaya dan caranya yang tersendiri dan begitu juga dengan agama. Setiap agama pasti ada pegangannya sendiri dan berbeza dengan di antara satu sama lain.

ANALISIS TAJUK

Masyarakat majmuk menghimpunkan pelbagai bangsa, budaya dan agama di dalam sesebuah komuniti, kejiranan dan juga negara. Ia pastinya menimbulkan beberapa cabaran dan permasalahan di kalangan komuniti, kejiranan dan juga negara tersebut. Di sinilah akan dihuraikan cabaran yang dihadapi oleh sebuah masyarakat majmuk khususnya di Malaysia dan jaga langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengatasinya.

CABARAN

Terdapat beberapa cabaran yang dihadapi oleh negara di dalam menyatu-padukan kaum-kaum yang terdapat di Malaysia. Antaranya ialah dari segi bahasa, sistem pendidikan kebangsaan, kebudayaan, ekonomi, agama dan lain-lain.

1. Bahasa

Di dalam Malaysia terdapat lebih kurang 19 bangsa / suku di Malaysia dan ini menggambarkan betapa banyaknya bahasa petuturan yang digunakan di negara ini. Kepelbagaian bahasa petuturan ini menyebabkan akan timbulnya masalah komunikasi di kalangan rakyat yang pelbagai. Sekiranya setiap bahasa hanya mengutamakan bahasa-bahasa pertuturan bangsa mereka sahaja maka akan menyebabkan terjadinya pemisahan pergaulan di antara satu bangsa dengan bangsa yang lain. Dan akan terjadi pergaulan yang amat minimum di kalangan bangsa-bangsa ini. Ia adalah kerana mereka tidak dapat berkomunikasi dengan baik sesama masyarakat lain kerana mereka hanya fasih menggunakan bahasa ibunda mereka sahaja.

Ini akan menyebabkan hubungan di antara masyarakat yang berlainan bangsa menjadi renggang dan tidak mesra dan ini akan membuka ruang-ruang untuk menyebabkan terjadinya konflik di antara kaum.

Penyelesaian Kepada Aspek Bahasa

Penyelesaian kepada masalah ini ialah pihak kerajaan perlu memperkasakan lagi usaha-usaha di dalam memantapkan penggunaan bahasa Melayu yang telah diangkat menjadi bahasa kebangsaan terutamanya di peringkat pendidikan rendah. Segala urusan-urusan rasmi dan juga tidak rasmi perlulah menggunakan bahasa kebangsaan.

Akhbar-akhbar yang menggunakan bahasa-bahasa ibunda bangsa lain seperti Nyangnyang Siang Pau (akhbar Cina), Tamil Nesan (akhbar India) perlu mengadakan satu sisipan di dalam akhbar tersebut untuk slot mempelajari bahasa kebangsaan. Ini bagi membolehkan rakyat-rakyat yang bukan dari kalangan orang Melayu dapat mempelajari dan memantapkan lagi penguasaan mereka di dalam bahasa kebangsaan.

Media-media elektronik juga perlu memainkan peranan untuk menggunakan bahasa kebangsaan di dalam siaran mereka agar rakyat boleh membiasakan diri mereka dengan bahasa kebangsaan. Ini akan menjadikan bahasa kebangsaan menjadi bahasa yang benar-benar utama dan menjadi satu kemestian setiap rakyat di negara ini untuk mempelajari dan menguasainya. Dengan ini bangsa-bangsa di Malaysia akan dapat berkomunikasi dengan baik sesama masyarakat yang berlainan suku / bangsa. Dan secara tidak langsung ia akan merapatkan hubungan sesama kaum dan seterusnya terjadilah perpaduan di dalam masyarakat.

2. Ekonomi

Apabila bijih timah ditemui oleh Long Jaafar pada tahun 1948 maka bermula era kemasukkan secaran besar-besaran kaum Cina yang datang dari negeri China. Ianya telah dibawa masuk oleh pihak Inggeris untuk menjadi buruh-buruh di lombong-lombong bijih tersebut. Dengan sebab itu di kawasan-kawasan bandar di mana terdapatnya lombong-lombong bijih populasi penduduknya dominasi oleh orang-orang Cina.

Pembukaan ladang-ladang getah di Tanah Melayu telah menyebabkan pihak Inggeris membawa orang-orang India dari negara India masuk ke Tanah Melayu bagi ditempatkan di estet-estet untuk menjadi buruh-buruh di ladang-ladang getah dan kelapa sawit. Manakala orang-orang Melayu masih tinggal di kawasan-kawasan kampung mengerjakan tanam-tanaman pertanian, menangkap ikan dan lain-lain pekerjaan kampung. Hanya sebilangan kecil sahaja orang-orang Melayu yang tinggal di bandar dan bekerja sebagai kerani-kerani di sektor pentadbiran.

Dasar ini menyebabkan terjadinya pemisahan di antara 3 kelompok kaum utama di negara ini. Sistem atau dasar yang dilakukan oleh pihak Inggeris ini dinamakan sebagai ‘sistem pecah dan perintah’ iaitu kaum-kaum ini dipisahkan mengikut tempat tinggal dan pekerjaan mereka.

Kesan daripada sistem yang dilakukan oleh pihak Inggeris ini maka wujudlah satu kesan negatif dikalangan kaum-kaum yang ada ini. Antara kesannya ialah wujud sifat perkauman dan saling curiga-mencurigai di antara satu kaum dengan kaum yang lain. Orang-orang Melayu yang merupakan penduduk asal negara ini hidup di dalam keadaan miskin di kampung-kampung dan ketinggalan di sektor ekonomi sedangkan orang-orang Cina yang merupakan pendatang telah memguasai sektor-sektor ekonomi di bandar-bandar. Orang-orang Melayu ketinggalan di dalam mencapai kemajuan dan insfratuktur yang baik kerana proses tersebut tertumpu di kawasan-kawasan bandar sedangkan orang-orang Melayu kebanyakkannya tinggal di kampung-kampung. Dan ini menyebabkan orang-orang Melayu tidak berpuas hati dengan perkara ini.

Sementara orang-orang Cina dan India yang pada ketika itu turut merasa tidak berpuas hati. Ini kerana mereka perlu melalui proses yang ketat bagi mendapatkan taraf kerakyatan di Tanah Melayu. Disebabkan rasa tidak puas hati di antara kaum ini maka wujudlah siri-siri rusuhan kecil namun ianya masih boleh dikawal, namun akhirnya berlaku juga satu rusuhan besar yang telah terjadi pada 13 Mei 1969.

Kesan dari terjadinya rusuhan besar pada 13 Mei 1969 telah membuka mata pihak kerajaan untuk melihat betapa seriusnya masalah di antara kaum di negara ini. Bagi menanganinya beberapa tindakan telah diambil oleh kerajaan bagi mengatasi masalah ini.

Penyelesaian Kepada Permasalahan Ekonomi

Antara tindakan yang diambil oleh pihak kerajaan setelah berlakunya peristiwa ini ialah dengan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Ia diwujudkan adalah bagi merapatkan jurang ekonomi di antara kaum-kaum yang terdapat di Malaysia terutamanya di kalangan orang Melayu yang telah jauh ketinggalan berbanding kaum-kaum lain. Dasar ini telah diperkenalkan pada tahun 1970. Ia dilancarkan oleh Kerajaan Malaysia melalui Rangka Rancangan Jangka Panjang (RRJP) antara tahun 1971-1990.

3. Agama

Kepelbagaian bangsa juga turut membawa kepada kepelbagaian agama. Di negara ini menurut perlembagaan Malaysia pada Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan:

"Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan"

Dari apa yang dinyatakan di dalam perlembagaan tersebut ialah walaupun agama Islam diiktiraf di dalam perlembagaan Malaysia sebagai agama rasmi Persekutuan namun penganut-penganut agama-agama lain masih dibenarkan untuk mengamalkan agama masing-masing tanpa sebarang gangguan.

Namun begitu kadangkala terdapat isu-isu yang sensitif yang dibangkitkan di antara agama yang jika tidak ditanggani dengan baik boleh mencetuskan konflik dan rusuhan antara agama. Antara isu yang pernah timbul yang membabitkan soal sensitiviti agama ialah berkenaan tuntutan jenazah orang yang telah memeluk Islam oleh keluarganya yang tidak Islam, pembinaan rumah ibadat orang bukan Islam di kawasan penduduk majoriti Islam dan yang terkini ialah iklan Hari raya Aidilfitri yang menyelitkan unsur-unsur agama lain seperti terdapatnya elemen Santa Claus. Penyiaran iklan ini oleh sebuah syarikat televisyen swasta telah menyebabkan umat Islam menjadi marah dan dibantah keras oleh pihak-pihak yang memperjuangkan agama Islam.

Gambar 1: Laporan sebuah akhbar tempatan mengenai iklan Hari Raya Aidil Fitri yang berunsur agama lain.

Penyelesaian Kepada Isu Agama
Umum mengetahui bahawa jika isu agama ‘disentuh’ oleh mana-mana pihak pastinya akan menimbulkan masalah dan konflik yang besar dan bukan hanya boleh menyebabkan rusuhan tetapi juga peperangan. Oleh yang demikian pihak kerajaan telah menggubal beberapa undang-undang bagi mengekang dan mengatasi masalah ini. Antara undang-undang ialah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Keselamatan Dalam Negeri atau di dalam bahasa Inggeris ia disebut ‘Internal Security Act’ (ISA) dan lain-lain lagi undang yang telah digubal oleh Kerajaan Malaysia.

Sebagai contoh di dalam berkaitan penyiaran iklan yang menyentuh agama lain seperti kes yang telah dinyatakan di atas, pihak kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah mengambil tindakan terhadap stesen televisyen tersebut dengan mengenakan kompaun sebanyak RM 50,000 terhadap stesen televisyen tersebut.
Gambar 2: Sebuah akhbar tempatan menyiarkan tindakan yang diambil oleh kerajaan di dalam isu tersebut
Masyarakat juga perlu saling hormat-menghormati di antara satu sama lain di dalam perkara yang menyentuh soal-soal keagamaan pihak lain.
Dari perspektif agama Islam di dalam bab memperkatakan menghormati agama lain ia telah dijelaskan di dalam surah

Al-An’aam ayat 108:


“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikian Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.
Berdasarkan ayat di atas jelas di dalam Islam melarang umatnya mencaci dan menghina amalan-amalan penganut agama lain.

Pemimpin-pemimpin agama juga perlu memainkan peranan di dalam mengawal masyarakat di dalam kelompok agama mereka agar lebih menghormati ajaran agama lain dan sekiranya terdapat salah faham dan permasalahan berkaitan agama maka perbincangan perlu diadakan bagi menyelesaikan permasalahan tersebut. Tindakan berbentuk emosi akan menyebabkan berlakuny konflik di antara agama sekali gus menjejaskan kehidupan harmoni di dalam masyarakat dan negara.

PENUTUP

Kesepakatan di antara kaum-kaum dan di antara penganut-penganut agama yang berlainan di dalam sebuah komuniti atau masyarakat akan menjadikan sesebuah negara itu harmoni dan dapat bergerak secara normal dan dapat memacu kemajuan demi kesejahteraan rakyat. Namun jika berlaku sebaliknya maka negara tersebut bakal menuju kepada kehancuran dan kebinasaan seterusnya akan menyebabkan rakyat menjadi sengsara.

Dari apa yang diperbincangkan di atas maka jelaslah bahawa perpaduan di antara kaum dan agama yang pelbagai di dalam sesebuah negara menjadi kunci kejayaan terhadap negara tersebut. Begitu jugalah di dalam konteks negara Malaysia rakyatnya serta kerajaan perlulah memainkan peranan bagi mewujudkan perpaduan tersebut.

Segala isu-isu yang bersifat sensitif dan menyentuh kaum dan agama perlulah diperbincangkan secara berhati-hati agar tidak wujud pergeseran di antara satu sama lain. Usaha-usaha bagi menyatu padukan masyarakat yang bersifat majmuk seperti ini perlu dimulakan pada peringkat kanak-kanak lagi agar mereka terbiasa hidup bersama walaupun berbeza dari segi kaum dan agama.

Kebudayaan-kebudayaan di antara kaum juga perlu didedahkan pada peringkat awal lagi supaya masyarakat akan lebih memahami budaya di antara satu sama lain. Seterusnya akan mewujudkan budaya hormat-menghormati di antara satu sama lain. Sejarah lampau juga perlu didedahkan kepada masyarakat agar masyarakat lebih memahami mengenai sejarah lampau dan mengambil ikhtibar daripadanya.

Rujukan

Kamus Dewan. 2007. Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka Malaysia.

Mardina Nordin. 2002. Pengajian Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti.

Zaini Nasohah, 2004. Pentadbiran Undang-Undang Islam Di Malaysia, Sebelum Dan Menjelang
Merdeka. Kuala Lumpur: Utusan Publicattions & Distributors Sdn. Bhd.

Tuan Haji Ahmad Mohamad Said. 2010. Nota Kuliah Pengajian Malaysia. Kajang: Kolej Dar al-
Hikmah.

Zulkifli Haji Ahmad. 14 Bulan Dalam Tahanan Seorang Diri. Jamil Dan Shah Enterprise.

Nazri Abdullah. 5 September 2010. Iklan Aidil Fitri: Pemuda PAS Hantar Bantahan Ke TV3.

Nazri Abdullah. 5 September 2010. Akur Bantahan, TV3 Tarik Balik Iklan Kontroversi.

22 Oktober 2010. Denda RM 50,000

Tuan Guru Dato’ Seri Haji Hadi Awang. 9 Januari 2010. Penggunaan Kalimah Allah.




SISTEM KALKULATOR FARAID SECARA ONLINE: SATU INOVASI DALAM MEMAHAMI PENGIRAAN FARAID

Oleh:
Muhammad Yazid Othman

PENDAHULUAN

Bermula hidup seseorang anak Adam di dunia ini pastinya akan berakhir dengan kematian seperti yang telah dinyatakan di dalam al-Quran:


Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh ajalnya (yang telah ditetapkan) maka apabila datang ajalnya, tidak dapat mereka melambatkan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka mempercepatkannya.

Apabila seseorang muslim itu pergi meninggalkan dunia maka bermulalah keperluan bagi ahli keluarganya untuk mengambil alih urusan harta si mati. Waris si mati perlu menyelesaikan beberapa perkara yang melibatkan si mati antaranya:

a. Menyelesaikan hutang si mati sama ada hutang dengan Allah atau pun hutang sesama manusia.

b. Menyempurnakan wasiat si mati iaitu andai ada lebihan harta si mati setelah hutangnya diselesaikan maka bolehlah ditunaikan wasiat si mati sekiranya beliau berhajat memberikan hartanya kepada satu pihak yang lain dan harta tersebut mestilah tidak melebihi 1/3 daripada harta yang tinggal itu ini berhujahkan hadis Saad bin Waqqas R.A. katanya:

Rasulullah S.A.W. menziarahi ku ketika Haji Wada’ ketika aku sedang sakit tenat hampir mati. Aku berkata: Wahai Rasulullah, aku kini tenat dan aku seorang yang berharta sedangkan aku tiada waris kecuali seorang anak perempuan. Apakah boleh aku bersedekah dua pertiga harta ku? Jawab Baginda: Tidak, Aku bertanya: Apakah boleh aku bersedekah separuh hartaku? Jawab Baginda: Tidak, satu pertiga sahaja, satu pertiga pun sudah banyak. Sekiranya engkau meninggalkan waris engkau dalam keadaan kaya adalah lebih baik daripada engkau tinggal mereka dalam keadaan miskin meminta-minta daripada orang ramai. Segala perbelanjaan yang engkau keluarkan semata-mata untuk Keredhaan Allah nescaya engkau akan mendapat ganjarannya termasuklah sesuap nasi yang engkau suapkan ke mulut isterimu. (hadis riwayat Imam Bukhari).

c. Setelah menyelesaikan perkara-perkara tersebut dan sekiranya masih terdapat baki pada harta tersebut barulah agihan harta tersebut diagihkan kepada waris-waris yang berhak. Firman Allah dalam surah An-Nisa Ayat 7


Orang-orang lelaki ada bahagian pesaka dari peninggalan ibubapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pesaka dari peninggalan ibubapa dan kerabat, samada sedikit atau banyak dari harta yang ditingggalkan itu iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).

GAGAL MENGUASAI ILMU FARAID

Pada zaman ini kebanyakan umat Islam di Malaysia tidak lagi menguasai ilmu Faraid bukan hanya di dalam konteks pengiraan ilmu Faraid tetapi termasuk juga di dalam memahami dengan sebaiknya ilmu berkenaan. Berdasarkan situasi ini mungkin kita boleh mengambil pengajaran daripada hadis Rasulullah S.A.W. :

“Pelajarilah ilmu Faraid kerana ia adalah sebahagian daripada agama kamu dan ia adalah setengah daripada ilmu. Ia juga adalah ilmu yang pertama dicabut daripada umatku” (hadis riwayat Ibnu Majah)

Apa yang terjadi ini amat merugikan umat Islam kerana kegagalan di dalam pengagihan harta tersebut di kalangan waris akan menyebabkan harta tersebut menjadi ‘beku’. Di samping itu juga sekiranya terdapat kanak-kanak di dalam kalangan waris yang berhak menerima pusaka seperti anak si mati, secara tidak langsung akan menzalimi kanak-kanak tersebut kerana beliau mempunyai hak di dalam harta tersebut.

Dalam satu kenyataan akhbar tempatan sebanyak RM40 bilion harta umat Islam di negara ini telah menjadi 'beku' . Perkara ini berkemungkinan besar disebabkan kurang keperihatinan atau kurang keilmuwan dan kefahaman mengenai ilmu faraid di kalangan umat Islam.

Keratan Akhbar: Harta Umat Islam Tidak Dituntut, Mungkinkah Ini Disebabkan Umat Islam Tidak Memahami Ilmu Berkaitan Faraid?
 
SISTEM PENGIRAAN FARAID DALAM TALIAN

Setelah kita melihat fakta yang dikemukakan di atas jelas kini bahawa umat Islam di negara ini perlu kepada satu jalan penyelesaian di peringkat awal bagi menyelesaikan pembahagian Faraid terutama di dalam bab pengiraan faraid.

Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia telah mewujudkan satu sistem pengiraan pembahagian faraid secara online di dalam web jabatan tersebut. Ia boleh dicapai melalui http://www.esyariah.gov.my/.

Melalui sistem ini dapat membantu ahli waris di dalam peringkat awal untuk mengetahui pengiraan faraid.

Gambar 1: Paparan di muka hadapan Sistem Pengiraan Faraid

Gambar 2: Waris Boleh Memilih Untuk Pengiraan Selapis Atau Pun Dua Lapis
Gambar 3:  Waris Hendaklah Mengisikan Maklumat Nama Dan Kad Pengenalan Waris-Waris Terlibat

Gambar 4: Sistem Akan Memaparkan Hasil Kiraan Setelah Membuat Pengiraan Secara Automatik


KESIMPULAN

Berdasarkan pengamatan terhadap Sistem Pengiraan Faraid Dalam Talian yang telah diwujudkan oleh pihak Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia ini maka dapat disimpulkan bahawa sistem ini merupakan satu sistem yang baik yang boleh di manafaatkan oleh umat Islam di negara ini bagi mendapat maklumat awal berkenaan pengiraan dan pembahagian harta pusaka dan secara langsung mudah-mudahan dapat mengatasi masalah berkenaan pembahagian harta pusaka di kalangan umat Islam pada waktu ini.

Cuma terdapat sedikit kelemahan pada sistem ini di mana segala maklumat dan pengiraan faraid yang terkandung di dalam dokumen pada sistem ini yang berkaitan dengan faraid tidak boleh digunakan sebagai Sijil Faraid tetapi ia hanya sebagai maklumat ilmiah sahaja.

Diharap pihak Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dapat memperbaiki masalah ini supaya mudah-mudahan pada masa akan datang sistem ini akan dapat digunakan sepenuhnya termasuk boleh diperaku sebagai Sijil Faraid dan boleh digunakan di dalam mahkamah.

Selasa, 6 September 2011

PEMBANTU-PEMBANTU HAKIM

Oleh:

Muhammad Yazid Othman


PENGENALAN
Islam merupakan satu sistem kehidupan yang lengkap meliputi semua aspek kehidupan. Tidak ada satu pun yang tertinggal, ia dapat dilihat dimana Islam mengambil berat dari perkara yang sekecil-kecilnya seperti membuang air kecil hinggalah kepada perkara-perkara yang besar seperti bernegara dan termasuklah kehakiman atau  قَضَى   semuanya terdapat di dalam Islam. Apa yang ingin disentuh pada penulisan ini ialah mengenai al-Qhada’ atau kehakiman.
Sistem kehakiman merupakan sebuah institusi yang penting di dalam sebuah masyarakat dan negara ini bertujuan bagi memberi keadilan kepada yang tertindas atau dizalimi bagi mendapatkan haknya.
DALIL PENSYARIATAN
Terdapat dalil dari al-Quran dan Sunnah yang menyatakan pensyariatan kehakiman ini antaranya  iaitu:
وَأَنِ احْكُم بَيْنَهُم بِمَآ أَنزَلَ اللهُ
Dan hendaklah engkau menghukum antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (Surah al-Maidah ayat 49)

وَاِذَا حَكَمْتُمْ  بَيْنَ النَّا سِ أَن تَحْكُمُواْ بِالْعَدْلِ
Dan apabila kamu menghukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan Adil (Surah an-Nisa’ ayat 58).

Hadis diriwayatkan daripada ‘Amr bin al-‘Ash r.a. katanya: Rasulullah S.A.W. bersabda:
اِذَا حَكَمَ الْحَا كِمُ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَصَابَ فَلَهُ أَجْرَا نِ وَاِذَا حَكَمَ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَخْطَأَ فَلَهُ أَجْرٌ
Apabila seorang hakim mengadili lalu dia berijtihad; Sekiranya ijtihadnya betul,dia mendapat dua ganjaran, Sekiranya dia mengadili lalu berijtihad dan ijtihadnya silap, dia mendapat satu ganjaran.
Dari hujah-hujah dan dalil-dalil yang dikemukakan di atas jelas kepada kita bahawa Islam telah mensyariatkan kehakiman di dalam kehidupan kita.
Hakim merupakan orang yang bertanggungjawab di dalam membuat keputusan pengadilan di dalam satu-satu perbicaraan. Namun begitu hakim tidak akan dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan baik tanpa bantuan daripada orang-orang yang turut sama membantunya sewaktu beliau mengendalikan satu-satu kes atau perbicaraan. Antara pembantu-pembantu hakim ialah: penyiasat, pencatat, pengawal dan pegawai sidang.
PENYIASAT
Di dalam Islam hakim adalah disunatkan untuk melantik dua orang penyiasat bagi membantu beliau di dalam menyelidik dan menyiasat latar belakang saksi-saksi yang terlibat di dalam satu-satu kes perbicaraan. Ini kerana agak sukar hakim melakukan secara tugas tersebut secara sendirian.
Syarat-syarat seorang penyiasat yang hendak dilantik ke jawatan tersebut ialah:
a. Memahami ilmu jarah wa ta’dil supaya dia tidak mempertikaikan orang yang adil atau menyokong orang yang fasik.
b. Mengetahui sejarah saksi yang mahu disahkan kelayakannya melalui persahabatan, kejiranan atau berinteraksi dengannya.
c. Beragama Islam, berakal, baligh dan bersifat adil supaya keterangan dan pengesahannya dipercayai.

PENCATAT
Dalam sesebuah perbicaraan hakim perlu memberi perhatian terhadap perbicaraan yang sedang dibicarakan oleh itu agak sukar atau tidak mempunyai masa untuk beliau mencatat mengenai perbicaraan tersebut. Oleh yang demikian hakim disunatkan untuk melantik seorang pencatat bagi membantu beliau mencatat perkara yang sedang dibicarakan itu. Nabi S.A.W. sendiri mempunyai beberapa orang pencatat dan jumlah mereka mungkin mencecah  40 orang.
Syarat-syarat seorang pencatat pula ialah:
a. Lelaki Islam yang bersifat adil dan merdeka. Syarat ini perlu supaya tidak timbul pengkhianatan dan catatannya boleh dipercayai. Ini kerana hakim mungkin terlupa atau terlalu sibuk untuk meneliti catatan tersebut.
b. Mengetahui cara menulis minit perbicaraan iaitu catatan yang mencatatkan keterangan sepanjang perbicaraan Juga mengetahui cara menulis rekod iaitu catatan yang mencatatkan keputusan hakim dan pelaksanaan hukuman sebagai tambahan kepada minit perbicaraan tadi.
Selain daripada dua syarat di atas, seorang pencatat juga perlu mempunyai sifat-sifat tambahan iaitu:
a. Berilmu supaya tidak timbul kesilapan akibat kejahilannya.
b. Bijak supaya tidak mudah ditipu atau diperdaya
c. Mampu menulis dengan baik supaya tulisannya tidak mengelirukan. Menurut Ali r.a.: “Tulisan yang baik akan membantu menjelaskan kebenaran”.
d. Boleh mengira kerana kebolehan ini diperlukan dalam kes pembahagian pusaka dan wasiat.
e. Fasih dan boleh memahami bahasa kedua-dua pihak yang bertelagah.
PENTERJEMAH
Adakalanya di dalam sesebuah perbicaraan terdapat bangsa-bangsa, suku-suku yang berlainan apatah lagi jika perbicaraan tersebut dijalankan  terhadap seorang warga asing yang bukan berasal dari kawasan atau negara tersebut. Pastinya akan berlaku masalah komunikasi dari segi aspek bahasa kerana hakim dan orang yang terlibat di dalam perbicaraan itu bukan dari suku, bangsa atau negara yang sama.
Oleh yang demikian hakim juga disunatkan untuk melantik seorang penterjemah supaya beliau boleh penterjemah perkataan sewaktu sesi perbicaraan tersebut berjalan.
Menurut Kharijah bin Zaid bin Tsabit berkata: Daripada Zaid bin Thabit  katanya;
Nabi S.A.W. memerintahkan saya supaya mempelajari tulisan Yahudi supaya saya boleh menulis surat-surat baginda kepada mereka dan saya boleh membaca surat-surat mereka kepada baginda.
Abu Jamrah berkata: saya telah menjadi penterjemah antara Ibnu Abbas r.a. dan orang lain”.
Syarat untuk menjadi seorang penterjemah pula ialah:
a.Islam
b.Merdeka
c. Bersifat adil supaya terjemahannya boleh dipercayai
PEGAWAI SIDANG
Pegawai sidang pula ialah merupakan orang yang mengatur orang yang bertelagah dan menjemput mereka. Ia juga disebutkan sebagai naqib. Oleh kerana bantuan pegawai sidang diperlukan maka hakim dibenarkan untuk melantik mereka.

RUJUKAN
Dr. Mustofa Al-Khin, Dr. Mustofa Al-Bugho & Ali Asy-Syarbaji.  2005. Kitab Fikah Mazhab Syafie, Jilid 8   (terjemahan). Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn. Bhd.

Haji Mohd. Saleh Haji Ahmad.  2005. Risalah Ahkam. Petaling Jaya. Intel Multimedia And Publication

Ahad, 4 September 2011

Riddah / Murtad

Riddah / Murtad

Oleh: Muhammad Yazid Othman


Apakah maksud Murtad?

Jawapan:

Murtad atau di dalam bahasa Arab ianya dipanggil Riddah dari segi bahasa adalah bermaksud:

Beralih daripada sesuatu kepada sesuatu yang lain

Adapun jika dilihat dari segi istilah undang-undang Islam pula ia bermaksud:

Beralih daripada memeluk Islam kepada memeluk agama lain atau anutan lain

Bagaimana Pandangan Islam Terhadap Murtad?

Jawapan:

Di dalam Islam perbuatan murtad adalah jenis kufur yang paling keji ia juga membawa hukuman yang berat serta kesan yang besar.

Dalilnya ialah:



Dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari ugamanya (ugama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).

Apakah Yang Boleh Menyebabkan Seseorang Itu Menjadi Murtad?


Jawapan:

Terdapat beberapa perkara yang boleh menyebabkan seseorang itu menjadi murtad ia adalah seperti:

a. Menolak hukum Islam yang telah disepakati dan pasti diketahui umum. Antara contoh-contohnya ialah menolak ibadat-ibadat yang telah ditetapkan oleh Islam seperti menolak kewajipan solat, puasa, zakat dan haji. Menolak pengharaman arak, judi dan lain-lain perkara dan perbuatan yang jelas telah diharamkan oleh Islam.

b. Melakukan perbuatan yang hanya dilakukan oleh orang-orang kafir seperti sujud kepada berhala atau pun melakukan ibadat seperti ibadat orang kafir. Melakukan perkara yang menghina al-Quran dan kitab Hadis seperti dengan sengaja dan tanpa sebarang paksaan mencampakkan al-Quran ke tempat yang bernajis ini termasuk juga kitab Hadis dan juga tafsir al-Quran.

c. Mengucapkan sesuatu yang mempersendakan, menghina ajaran agama Islam. Contohnya dengan mengatakan ajaran Islam tidak sesuai untuk kemodenan atau pencipta alam ini tidak wujud.


Adakah Seseorang Menjadi Murtad Jika Mengucapkan Perkataan Mempersendakan atau Menghinakan Islam Secara Gurau Senda?


Jawapan:

Ya, seseorang boleh menjadi murtad dengan mengucapkan kata-kata yang menghina Islam walaupun dengan gurau senda atau pun main-main.


Apakah Hukuman Terhadap Orang Yang Murtad?


Jawapan:

Hukuman terhadap orang murtad adalah dibunuh, namun sebelum hukuman itu dijatuhkan pelaku hendaklah diberi peluang untuk bertaubat. Tetapi jika beliau engkar untuk bertaubat maka barulah hukuman tersebut dijalankan terhadap orang yang murtad tersebut.

Apakah Dalil Hukuman Bunuh Terhadap Pesalah Murtad?


Jawapan:

Dalil hukuman bunuh terhadap pesalah murtad ialah hadis Nabi Muhammad S.A.W.:




Sesiapa yang menukar agamanya, hendaklah kamu bunuh dia

(hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari)



daripada Abdullah R.A. bahawa Nabi Muhammad S.A.W. bersabda:

Tidak dihalalkan darah seorang muslim yang mengakui bahawa Tiada Tuhan Melainkan Allah dan Saya ini adalah Utusan Allah kecuali kerana salah satu daripada 3 sebab berikut iaitu nyawa dengan nyawa, orang yang pernah kawin yang berzina dan orang yang memisahkan diri daripada agamanya serta meninggalkan masyarakat Islam. (hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari).

Apakah Syarat-Syarat Pelaksanaan Hukuman?


Jawapan:

Syarat-syarat pelaksanaan hukuman murtad adalah seperti berikut:

a. Seseorang yang hendak dijatuhkan hukuman terhadapnya hendaklah seorang yang baligh dan berakal. Jika perbuatan murtad tersebut dilakukan oleh kanak-kanak atau pun orang gila maka perbuatan mereka tidak diambil kira kerana mereka bukan mukhallaf. Namun penjaga kepada kanak-kanak tersebut bertanggungjawab menegur dan menghukum serta meminta kanak-kanak tersebut bertaubat dan menarik semula apa yang telah dilakukannya.

b. Pesalah diminta supaya bertaubat terlebih dahulu. Seseorang pesalah murtad tidak boleh dibunuh kecuali setelah meminta beliau untuk bertaubat terlebih dahulu. Jika beliau masih enggan untuk bertaubat walaupun telah diminta supaya bertaubat maka setelah itu barulah hukuman bunuh boleh dijalankan kepada pesalah dan hukuman tersebut akan terus dijalankan tanpa diberikan tempoh kepada pesalah.

c. Perlakuan murtad oleh pesalah disahkan melalui pengakuan pesalah itu sendiri atau pun melalui saksi yang sahih dan memenuhi syarat saksi yang telah ditetapkan oleh Islam.

Apakah Kesan Murtad Terhadap Pesalah?


Jawapan:

Terdapat beberapa kesan terhadap pesalah yang melakukan kesalahan murtad iaitu:

a. Harta bendanya akan ditahan oleh pemerintah atau wakilnya dan hanya digunakan mengikut keperluan sehingga beliau bertaubat. Iaitu jika beliau bertaubat maka harta-bendanya akan dikembalikan kepada beliau tetapi sekiranya beliau enggan bertaubat dan dihukum mati maka hak terhadap hartanya dikira telah dibatal sebaik sahaja beliau murtad.

b. Kesemua urusan dan akad sivilnya seperti jual beli, anugerah, gadaian dan sebagainya akan terbatal kerana statusnya sebagai murtad menggugurkan segala kelayakannya.

c. Segala hak waris-mewarisi di antara beliau dengan warisnya adalah gugur, walaupun jika mengikut hukum asalnya beliau adalah merupakan pewaris kepada saudara-maranya. Andainya salah seorang saudara-maranya meninggal dunia ketika beliau murtad maka beliau tidak berhak mendapatkan harta tersebut. Ini adalah berdasarkan hadis Nabi Muhammad S.A.W. :


Seorang muslim tidak boleh mewarisi pusaka orang kafir dan orang kafir tidak boleh mewarisi pusaka seorang muslim (hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari).


d. Seorang yang murtad adalah dipisahkan dengan isterinya serta akad nikah mereka digantung. Jika pesalah bertaubat dan kembali kepada Islam ketika masih lagi di dalam tempoh iddah maka beliau dan isterinya boleh kembali bersama tanpa akad nikah baru. Tetapi jika pesalah tidak bertaubat di dalam tempoh iddah maka akad nikah tersebut akan terbatal. Ini bermakna jika pesalah bertaubat selepas tempoh iddah dan dia hendak kembali kepada isterinya maka mereka perlu akad nikah semula dengan mahar yang baru.

Apakah Pula Kesan Terhadap Pesalah Selepas Hukuman Bunuh Dijalankan Terhadapnya?


Jawapan:

Terdapat beberapa kesan terhadap orang yang murtad selepas kematiannya iaitu:

a. Mayat beliau tidak boleh dimandikan, dikafankan dan disolatkan seperti mana jenazah orang Islam. Ini kerana beliau telah sabit kesalahan keluar dari Islam.

b. Mayat pesalah juga tidak boleh ditanam di tanah perkuburan orang Islam dan hendaklah mayat pesalah ditanam jauh dari kawasan perkuburan orang Islam.

c. Saudara-maranya tidak boleh mewarisi harta pusaka beliau ini kerana hubungan beliau dengan saudara-maranya telah putus apabila beliau melakukan murtad.