Selasa, 13 September 2011

MASYARAKAT MAJMUK DI MALAYSIA: CABARAN DAN PENYELESAIAN

Oleh:
Muhammad Yazid Othman


PENDAHULUAN

Sebelum kita memperkatakan mengenai masyarakat majmuk sebaiknya terlebih dahulu kita melihat kepada maksud kepada perkataan majmuk tersebut. Di dalam Kamus Dewan, terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka Edisi Keempat ia memberi makna:

"terdiri atau terbentuk daripada beberapa bahagian dan sebagainya tetapi merupakan kesatuan"

di dalam Kamus Besar Bahasa Indonesia ia memberi makna:

"terdiri atas beberapa bagian yang merupakan kesatuan"

dari makna di atas dapat kita fahami bahawa ianya merupakan satu pecahan-pecahan dari beberapa bahagian tetapi masih bersama dan menjadi satu kesatuan.

Dari segi sejarah sebelum negara Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963 negara ini dikenali sebagai Tanah Melayu. Pada ketika itu populasi masyarakatnya didominasi oleh orang-orang Melayu dan pada ketika itu juga tidak timbul sebarang permasalahan yang ketara di antara kaum dan agama. Namun setelah pihak Inggeris membawa masuk pekerja-pekerja India dari negara India dan pelombong-pelombong bijih dari negara China maka bermulalah era masyarakat majmuk yang akhirnya menimbulkan sedikit permasalahan yang agak ketara di negara ini. Statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia kemaskini pada 02 Julai 2010, menunjukkan bahawa penduduk Malaysia kini berjumlah 28.25 juta yang terdiri dari pelbagai bangsa dan agama. Dengan jumlah rakyat yang sebegini besar pastilah banyak cabarannya ini kerana setiap kaum mempunyai budaya dan caranya yang tersendiri dan begitu juga dengan agama. Setiap agama pasti ada pegangannya sendiri dan berbeza dengan di antara satu sama lain.

ANALISIS TAJUK

Masyarakat majmuk menghimpunkan pelbagai bangsa, budaya dan agama di dalam sesebuah komuniti, kejiranan dan juga negara. Ia pastinya menimbulkan beberapa cabaran dan permasalahan di kalangan komuniti, kejiranan dan juga negara tersebut. Di sinilah akan dihuraikan cabaran yang dihadapi oleh sebuah masyarakat majmuk khususnya di Malaysia dan jaga langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengatasinya.

CABARAN

Terdapat beberapa cabaran yang dihadapi oleh negara di dalam menyatu-padukan kaum-kaum yang terdapat di Malaysia. Antaranya ialah dari segi bahasa, sistem pendidikan kebangsaan, kebudayaan, ekonomi, agama dan lain-lain.

1. Bahasa

Di dalam Malaysia terdapat lebih kurang 19 bangsa / suku di Malaysia dan ini menggambarkan betapa banyaknya bahasa petuturan yang digunakan di negara ini. Kepelbagaian bahasa petuturan ini menyebabkan akan timbulnya masalah komunikasi di kalangan rakyat yang pelbagai. Sekiranya setiap bahasa hanya mengutamakan bahasa-bahasa pertuturan bangsa mereka sahaja maka akan menyebabkan terjadinya pemisahan pergaulan di antara satu bangsa dengan bangsa yang lain. Dan akan terjadi pergaulan yang amat minimum di kalangan bangsa-bangsa ini. Ia adalah kerana mereka tidak dapat berkomunikasi dengan baik sesama masyarakat lain kerana mereka hanya fasih menggunakan bahasa ibunda mereka sahaja.

Ini akan menyebabkan hubungan di antara masyarakat yang berlainan bangsa menjadi renggang dan tidak mesra dan ini akan membuka ruang-ruang untuk menyebabkan terjadinya konflik di antara kaum.

Penyelesaian Kepada Aspek Bahasa

Penyelesaian kepada masalah ini ialah pihak kerajaan perlu memperkasakan lagi usaha-usaha di dalam memantapkan penggunaan bahasa Melayu yang telah diangkat menjadi bahasa kebangsaan terutamanya di peringkat pendidikan rendah. Segala urusan-urusan rasmi dan juga tidak rasmi perlulah menggunakan bahasa kebangsaan.

Akhbar-akhbar yang menggunakan bahasa-bahasa ibunda bangsa lain seperti Nyangnyang Siang Pau (akhbar Cina), Tamil Nesan (akhbar India) perlu mengadakan satu sisipan di dalam akhbar tersebut untuk slot mempelajari bahasa kebangsaan. Ini bagi membolehkan rakyat-rakyat yang bukan dari kalangan orang Melayu dapat mempelajari dan memantapkan lagi penguasaan mereka di dalam bahasa kebangsaan.

Media-media elektronik juga perlu memainkan peranan untuk menggunakan bahasa kebangsaan di dalam siaran mereka agar rakyat boleh membiasakan diri mereka dengan bahasa kebangsaan. Ini akan menjadikan bahasa kebangsaan menjadi bahasa yang benar-benar utama dan menjadi satu kemestian setiap rakyat di negara ini untuk mempelajari dan menguasainya. Dengan ini bangsa-bangsa di Malaysia akan dapat berkomunikasi dengan baik sesama masyarakat yang berlainan suku / bangsa. Dan secara tidak langsung ia akan merapatkan hubungan sesama kaum dan seterusnya terjadilah perpaduan di dalam masyarakat.

2. Ekonomi

Apabila bijih timah ditemui oleh Long Jaafar pada tahun 1948 maka bermula era kemasukkan secaran besar-besaran kaum Cina yang datang dari negeri China. Ianya telah dibawa masuk oleh pihak Inggeris untuk menjadi buruh-buruh di lombong-lombong bijih tersebut. Dengan sebab itu di kawasan-kawasan bandar di mana terdapatnya lombong-lombong bijih populasi penduduknya dominasi oleh orang-orang Cina.

Pembukaan ladang-ladang getah di Tanah Melayu telah menyebabkan pihak Inggeris membawa orang-orang India dari negara India masuk ke Tanah Melayu bagi ditempatkan di estet-estet untuk menjadi buruh-buruh di ladang-ladang getah dan kelapa sawit. Manakala orang-orang Melayu masih tinggal di kawasan-kawasan kampung mengerjakan tanam-tanaman pertanian, menangkap ikan dan lain-lain pekerjaan kampung. Hanya sebilangan kecil sahaja orang-orang Melayu yang tinggal di bandar dan bekerja sebagai kerani-kerani di sektor pentadbiran.

Dasar ini menyebabkan terjadinya pemisahan di antara 3 kelompok kaum utama di negara ini. Sistem atau dasar yang dilakukan oleh pihak Inggeris ini dinamakan sebagai ‘sistem pecah dan perintah’ iaitu kaum-kaum ini dipisahkan mengikut tempat tinggal dan pekerjaan mereka.

Kesan daripada sistem yang dilakukan oleh pihak Inggeris ini maka wujudlah satu kesan negatif dikalangan kaum-kaum yang ada ini. Antara kesannya ialah wujud sifat perkauman dan saling curiga-mencurigai di antara satu kaum dengan kaum yang lain. Orang-orang Melayu yang merupakan penduduk asal negara ini hidup di dalam keadaan miskin di kampung-kampung dan ketinggalan di sektor ekonomi sedangkan orang-orang Cina yang merupakan pendatang telah memguasai sektor-sektor ekonomi di bandar-bandar. Orang-orang Melayu ketinggalan di dalam mencapai kemajuan dan insfratuktur yang baik kerana proses tersebut tertumpu di kawasan-kawasan bandar sedangkan orang-orang Melayu kebanyakkannya tinggal di kampung-kampung. Dan ini menyebabkan orang-orang Melayu tidak berpuas hati dengan perkara ini.

Sementara orang-orang Cina dan India yang pada ketika itu turut merasa tidak berpuas hati. Ini kerana mereka perlu melalui proses yang ketat bagi mendapatkan taraf kerakyatan di Tanah Melayu. Disebabkan rasa tidak puas hati di antara kaum ini maka wujudlah siri-siri rusuhan kecil namun ianya masih boleh dikawal, namun akhirnya berlaku juga satu rusuhan besar yang telah terjadi pada 13 Mei 1969.

Kesan dari terjadinya rusuhan besar pada 13 Mei 1969 telah membuka mata pihak kerajaan untuk melihat betapa seriusnya masalah di antara kaum di negara ini. Bagi menanganinya beberapa tindakan telah diambil oleh kerajaan bagi mengatasi masalah ini.

Penyelesaian Kepada Permasalahan Ekonomi

Antara tindakan yang diambil oleh pihak kerajaan setelah berlakunya peristiwa ini ialah dengan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Ia diwujudkan adalah bagi merapatkan jurang ekonomi di antara kaum-kaum yang terdapat di Malaysia terutamanya di kalangan orang Melayu yang telah jauh ketinggalan berbanding kaum-kaum lain. Dasar ini telah diperkenalkan pada tahun 1970. Ia dilancarkan oleh Kerajaan Malaysia melalui Rangka Rancangan Jangka Panjang (RRJP) antara tahun 1971-1990.

3. Agama

Kepelbagaian bangsa juga turut membawa kepada kepelbagaian agama. Di negara ini menurut perlembagaan Malaysia pada Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan:

"Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan"

Dari apa yang dinyatakan di dalam perlembagaan tersebut ialah walaupun agama Islam diiktiraf di dalam perlembagaan Malaysia sebagai agama rasmi Persekutuan namun penganut-penganut agama-agama lain masih dibenarkan untuk mengamalkan agama masing-masing tanpa sebarang gangguan.

Namun begitu kadangkala terdapat isu-isu yang sensitif yang dibangkitkan di antara agama yang jika tidak ditanggani dengan baik boleh mencetuskan konflik dan rusuhan antara agama. Antara isu yang pernah timbul yang membabitkan soal sensitiviti agama ialah berkenaan tuntutan jenazah orang yang telah memeluk Islam oleh keluarganya yang tidak Islam, pembinaan rumah ibadat orang bukan Islam di kawasan penduduk majoriti Islam dan yang terkini ialah iklan Hari raya Aidilfitri yang menyelitkan unsur-unsur agama lain seperti terdapatnya elemen Santa Claus. Penyiaran iklan ini oleh sebuah syarikat televisyen swasta telah menyebabkan umat Islam menjadi marah dan dibantah keras oleh pihak-pihak yang memperjuangkan agama Islam.

Gambar 1: Laporan sebuah akhbar tempatan mengenai iklan Hari Raya Aidil Fitri yang berunsur agama lain.

Penyelesaian Kepada Isu Agama
Umum mengetahui bahawa jika isu agama ‘disentuh’ oleh mana-mana pihak pastinya akan menimbulkan masalah dan konflik yang besar dan bukan hanya boleh menyebabkan rusuhan tetapi juga peperangan. Oleh yang demikian pihak kerajaan telah menggubal beberapa undang-undang bagi mengekang dan mengatasi masalah ini. Antara undang-undang ialah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Keselamatan Dalam Negeri atau di dalam bahasa Inggeris ia disebut ‘Internal Security Act’ (ISA) dan lain-lain lagi undang yang telah digubal oleh Kerajaan Malaysia.

Sebagai contoh di dalam berkaitan penyiaran iklan yang menyentuh agama lain seperti kes yang telah dinyatakan di atas, pihak kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah mengambil tindakan terhadap stesen televisyen tersebut dengan mengenakan kompaun sebanyak RM 50,000 terhadap stesen televisyen tersebut.
Gambar 2: Sebuah akhbar tempatan menyiarkan tindakan yang diambil oleh kerajaan di dalam isu tersebut
Masyarakat juga perlu saling hormat-menghormati di antara satu sama lain di dalam perkara yang menyentuh soal-soal keagamaan pihak lain.
Dari perspektif agama Islam di dalam bab memperkatakan menghormati agama lain ia telah dijelaskan di dalam surah

Al-An’aam ayat 108:


“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikian Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.
Berdasarkan ayat di atas jelas di dalam Islam melarang umatnya mencaci dan menghina amalan-amalan penganut agama lain.

Pemimpin-pemimpin agama juga perlu memainkan peranan di dalam mengawal masyarakat di dalam kelompok agama mereka agar lebih menghormati ajaran agama lain dan sekiranya terdapat salah faham dan permasalahan berkaitan agama maka perbincangan perlu diadakan bagi menyelesaikan permasalahan tersebut. Tindakan berbentuk emosi akan menyebabkan berlakuny konflik di antara agama sekali gus menjejaskan kehidupan harmoni di dalam masyarakat dan negara.

PENUTUP

Kesepakatan di antara kaum-kaum dan di antara penganut-penganut agama yang berlainan di dalam sebuah komuniti atau masyarakat akan menjadikan sesebuah negara itu harmoni dan dapat bergerak secara normal dan dapat memacu kemajuan demi kesejahteraan rakyat. Namun jika berlaku sebaliknya maka negara tersebut bakal menuju kepada kehancuran dan kebinasaan seterusnya akan menyebabkan rakyat menjadi sengsara.

Dari apa yang diperbincangkan di atas maka jelaslah bahawa perpaduan di antara kaum dan agama yang pelbagai di dalam sesebuah negara menjadi kunci kejayaan terhadap negara tersebut. Begitu jugalah di dalam konteks negara Malaysia rakyatnya serta kerajaan perlulah memainkan peranan bagi mewujudkan perpaduan tersebut.

Segala isu-isu yang bersifat sensitif dan menyentuh kaum dan agama perlulah diperbincangkan secara berhati-hati agar tidak wujud pergeseran di antara satu sama lain. Usaha-usaha bagi menyatu padukan masyarakat yang bersifat majmuk seperti ini perlu dimulakan pada peringkat kanak-kanak lagi agar mereka terbiasa hidup bersama walaupun berbeza dari segi kaum dan agama.

Kebudayaan-kebudayaan di antara kaum juga perlu didedahkan pada peringkat awal lagi supaya masyarakat akan lebih memahami budaya di antara satu sama lain. Seterusnya akan mewujudkan budaya hormat-menghormati di antara satu sama lain. Sejarah lampau juga perlu didedahkan kepada masyarakat agar masyarakat lebih memahami mengenai sejarah lampau dan mengambil ikhtibar daripadanya.

Rujukan

Kamus Dewan. 2007. Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka Malaysia.

Mardina Nordin. 2002. Pengajian Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti.

Zaini Nasohah, 2004. Pentadbiran Undang-Undang Islam Di Malaysia, Sebelum Dan Menjelang
Merdeka. Kuala Lumpur: Utusan Publicattions & Distributors Sdn. Bhd.

Tuan Haji Ahmad Mohamad Said. 2010. Nota Kuliah Pengajian Malaysia. Kajang: Kolej Dar al-
Hikmah.

Zulkifli Haji Ahmad. 14 Bulan Dalam Tahanan Seorang Diri. Jamil Dan Shah Enterprise.

Nazri Abdullah. 5 September 2010. Iklan Aidil Fitri: Pemuda PAS Hantar Bantahan Ke TV3.

Nazri Abdullah. 5 September 2010. Akur Bantahan, TV3 Tarik Balik Iklan Kontroversi.

22 Oktober 2010. Denda RM 50,000

Tuan Guru Dato’ Seri Haji Hadi Awang. 9 Januari 2010. Penggunaan Kalimah Allah.




2 ulasan: