Isnin, 3 September 2012

Hukuman Bagi Pengedar Dadah Mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 Dari Perspektif Kaedah Fiqh الضرر يزال (addharar yuzal) (Kemudaratan Dihapuskan)


Oleh: Muhammad Yazid Othman

Pengenalan

Al-Quran dan Al-Sunnah adalah merupakan sumber Islam yang utama di dalam menggubal undang-undang Islam. Namun proses pengeluaran hukum dari dua sumber yang utama ini bukanlah boleh diambil terus secara zahir semata-mata sebaliknya proses pengeluaran hukum dari dua sumber ini adalah berdasarkan kaedah-kaedah tertentu yang telah ditetapkan atau digariskan oleh Islam. Hikmahnya adalah agar hukum hakam yang hendak dikeluarkan itu benar-benar menepati apa yang dikehendaki dan diperintahkan Allah dan bukan  berdasarkan hawa nafsu manusia. Keperluan para mufti, para ulama, dan juga masyarakat awam memahami mengenai kaedah ini juga adalah sangat penting kerana umat Islam sering berhadapan dengan permasalahan fiqh baru yang timbul akibat peredaran zaman dan juga perubahan masa. Jesteru itu dengan menggunakan kaedah fiqh sesuatu permasalahan fiqh itu akan lebih mudah diselesaikan.


Definisi Qawaid Fiqhiyyah / Kaedah Fiqh

Qawaid Fiqhiyyah atau kaedah Fiqh adalah merupakan salah satu cara atau kaedah untuk mengeluarkan / menginstinbat sesuatu hukum hakam dan mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Qawaid dari segi bahasa adalah bermaksud asas dan menjadi paksi kepada sesuatu sama ada berbentuk fizikal seperti tiang rumah atau berbentuk abstrak seperti tiang agama.[1]






Makna ini boleh dilihat sebagaimana firman Allah di dalam al-Quran:




Maksudnya: Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Ka`abah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami) sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Qawaid atau kaedah fiqh dari segi istilah pula adalah bermaksud:
hukum kulliyy (menyeluruh) atau kebanyakan (majoriti) yang dengannya boleh diketahui hukum juz’iyyat.[2]

Apa yang dapat difahami di sini ialah Qawaid Fiqhiyyah atau kaedah fiqh ialah proses mengeluarkan hukum yang bersifat umum.

Kaedah الضرر يزال (addharar yuzal) (Kemudaratan Dihapuskan)

Kaedah الضرر يزال adalah bermaksud apa jua perkara yang boleh menyebabkan berlakunya kemudaratan wajib dihapuskan / dihilangkan Ini termasuklah sekiranya kemudaratan itu berlaku terhadap seseorang individu, masyarakat dan juga negara.

Dengan ini dapat kita fahami bahawa sekiranya berlaku kemudaratan terhadap mana-mana pihak maka wajiblah kemudaratan itu dihilangkan dari terus berlaku terhadap pihak tersebut.
Antara dalil bagi kaedah الضَرَر يُزَال  ialah hadis Rasulullah S.A.W.
لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ
Maksudnya: Tiada kemudaratan dan tidak memudaratkan

Dalil dari al-Quran, Firman Allah surah al-Nisa’ ayat 5



Maksudnya: Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu.


Dadah

Dadah adalah merujuk kepada 1. Ubat-ubatan 2. Bahan (spt ganja, heroin, marijuana, dsb) yg merosakkan atau membinasakan orang yg menggunakannya berlanjutan (merosakkan kesihatan, membawa maut, dll)[3].

Berdasarkan definisi dadah seperti yang dinyatakan di atas jelas kepada kita bahawa dadah boleh dijadikan ubat tetapi jika disalahgunakan ia juga boleh merosakkan dan membinasakan kehidupan penggunanya.

Kesan Penyalahgunaan Dadah

Penyalahgunaan dadah memberi kesan negatif yang besar terhadap penggunanya atau lebih dikenali di dalam masyarakat sebagai penagih dadah. Kesan negatif yang besar akibat penyalahgunaan dadah juga turut memberi kesan kepada masyarakat dan negara.

Kehidupan masyarakat terganggu dengan kehadiran penagih dadah di dalam komuniti kejiranan mereka. Ketagihan yang dialami oleh para penagih dadah menyebabkan mereka sentiasa memerlukan wang untuk membeli dadah bagi memenuhi keinginan ketagihan mereka. Apa yang dialami oleh para penagih ini membuatkan mereka hilang pertimbangan hingga menyebabkan mereka terlibat dengan jenayah seperti mencuri barang-barang jiran tetangga dan ada kalanya sampai kepada peringkat membunuh ia boleh dilihat berdasarkan laporan akhbar Berita Harian seperti di bawah:



Lelaki tetak kepala ibu
Oleh Omar Osman
bhnews@bharian.com.my
2012/02/22

SUNGAI PETANI: Hanya kerana gagal mendapatkan wang daripada ibunya, seorang lelaki bertindak zalim dengan menetak kepala wanita tua itu menggunakan parang dalam kejadian di Kampung Padang Buloh, Sidam Kiri, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa, A’inshon Abdul Rahman, 60, cedera parah di kepala selepas ditetak anak bongsunya itu menggunakan parang sepanjang hampir satu meter ketika mangsa sedang menggoreng sayur di dapur rumahnya untuk juadah makan tengah hari.Mayat mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah terbaring di bahagian dapur oleh peniaga ikan yang kebetulan melalui kawasan berkenaan sebelum memaklumkan kepada anak saudara mangsa yang tinggal berdekatan rumah wanita itu.

Difahamkan, suspek yang juga seorang penagih dadah berusia 26 tahun, dikatakan naik berang selepas permintaannya mendapatkan wang daripada ibunya tidak diendahkan mangsa sehingga menyebabkan dia bertindak ganas. Selepas menetak ibunya, suspek melarikan diri bagi mengelak diberkas polis. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd Zakaria Ahmad, berkata polis menerima maklumat kira-kira jam 1.10 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian dan menemui mangsa dalam keadaan terbaring berlumuran darah di ruang dapur rumahnya.
“Mangsa yang cedera parah dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian. Polis juga menemui parang dipercayai digunakan suspek untuk menetak mangsa di kawasan berdekatan,” katanya.

Beliau berkata, polis berjaya menahan suspek yang melarikan diri di tengah sawah, kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian. “Polis akan menjalankan siasatan menyeluruh termasuk mengenal pasti sama ada suspek mengalami gangguan mental kerana dikatakan pernah mengambil ubat penenang daripada klinik berdekatan rumahnya. “Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya[4].

Laporan akhbar di atas hanyalah sebahagian senario kesan penyalahgunaan dadah. Pelbagai kesan-kesan negatif yang lain boleh berlaku akibat ketagihan dadah.

Dasar Dadah Negara

Melihatkan kesan buruk penagihan dadah begitu besar maka kerajaan Malaysia pada tahun 1983 telah mewujudkan Dasar Dadah Negara. Ia telah diisytiharkan oleh Y.A.B. Tun Dr.Mahathir bin Mohamad, bekas Perdana Menteri Malaysia pada 19 Februari 1983 semasa melancarkan Kempen Anti Dadah[5].

Kandungan Dasar Dadah Negara ialah:

‘Mewujudkan Negara Malaysia bebas dari ancaman gejala dadah menjelang tahun 2015 bagi menjamin kesejahteraan hidup masyarakat dan mengekalkan kestabilan dan ketahanan nasional’[6].

 

Strategi Dasar Dadah

Bagi menjayakan Dasar Dadah Negara, Strategi Dasar Dadah telah digubal di mana kandungannya ialah:
Pendidikan Pencegahan dan Publisiti, Rawatan dan Pemulihan, Penguatkuasaan Undang-undang dan Kerjasama antarabangsa.

Hukuman Mati Bagi Pesalah Mengedar Dadah Di Malaysia

Bagi menyelesaikan sesuatu masalah, punca terjadinya masalah itu  perlulah dicari bagi menyelesaikan masalah tersebut. Sebagai contoh di dalam menyelesaikan masalah penyakit demam denggi kita hendaklah menghapuskan nyamuk Aedes yang menjadi punca menyebabkan terjadinya penyakit demam denggi tersebut. Penghapuskan nyamuk Aedes bukan sekadar dengan melakukan proses penyemburan racun bagi membunuh nyamuk tersebut tetapi ia turut meliputi pemusnahan tempat pembiakan bagi nyamuk itu seperti tin-tin kosong yang berair, tayar-tayar lama berair dan sebagainya.

Begitu juga dengan penyalahgunaan dadah, antara puncanya ialah penagih mendapat bekalan yang mencukupi dari pembekal atau pengedar dadah yang membekalkan dadah kepada penagih.

Segala usaha kerajaan seperti mewujudkan Pusat Pemulihan Dadah, menjalankan kempen-kempen kesedaran mengenai kesan buruk akibat penyalahgunaan dadah akan menjadi sia-sia sekiranya dadah masih lagi berlegar secara berleluasa di dalam masyarakat serta mudah didapati dari pembekalnya.

Oleh kerana pembekal dadah adalah merupakan ibu kepada penyalahgunaan dadah di dalam masyarakat dan negara maka kerajaan telah mewujudkan satu undang-undang yang agak tegas agar dapat mencegah perbuatan tersebut.

Bagi merealisasikan Dasar Dadah Negara di dalam mencegah pengedaran serta penjualan dadah maka Seksyen 39 B dan Seksyen 39 A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 telah digunakan terhadap pesalah yang melakukan kesalahan tersebut di mana ia membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit melakukan kesalahan tersebut. Ia akan diperbincangkan dengan lebih lanjut di dalam tajuk Hubungkait Kaedah الضَرَر يُزَال Dengan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


Hubungkait Kaedah الضَرَر يُزَال Dengan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952

Seperti mana yang telah diterangkan mengenai kaedah fiqh الضرر يزال, jelas menunjukkan bahawa kaedah ini adalah bertujuan untuk menghapuskan apa-apa jua kemudaratan dari terus ditanggung / dibebani oleh mana-mana pihak.

Melihat kepada kesan mudarat yang disebabkan oleh penyalahgunaan dadah maka langkah mengatasinya dengan mewujudkan undang-undang yang berkaitan dengannya bagi tujuan menghapuskan mudarat yang disebabkan oleh penyalahgunaan dadah adalah menepati kaedah ini.

Jika dilihat undang-undang  di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dinyatakan bahawa:

            39B. Pengedaran dadah berbahaya.
           
(1) Tiada seorang pun boleh, bagi pihak dirinya atau bagi pihak mana-mana orang lain, sama ada atau tidak orang lain itu berada di Malaysia
(a) mengedarkan dadah berbahaya; atau
(b) menawar untuk mengedarkan dadah berbahaya; atau
(c)  melakukan atau menawar atau melakukan sesuatu perbuatan sebagai persediaan untuk atau bagi maksud pengedaran dadah berbahaya.
(2) Mana-mana orang yang melanggar mana-mana peruntukan subseksyen (1) adalah melakukan suatu kesalahan terhadap Akta ini dan jika disabitkan hendaklah dijatuhi hukuman mati[7].

Apabila melihat kepada Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 seperti mana di atas, jelas kepada kita bahawa undang-undang tersebut bertujuan penutup terus pintu mudarat yang utama iaitu ‘pengedaran dadah’ kerana dengan adanya pengedar dadah maka usaha-usaha pemulihan dan juga kempen-kempen kesedaran bahayanya penyalahgunaan dadah akan menjadi sia-sia. Oleh demikian dengan menjatuhi hukuman mati terhadap pengedar dadah maka akan hilanglah kemudaratan yang melanda.


Kesimpulan

Dari apa yang diperbincangkan mengenai hukuman gantung sampai mati terhadap pengedar dadah berdasarkan undang-undang yang diperuntukkan di dalam Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dilihat pula dari perspektif atau deminsi kaedah fiqh الضَرَر يُزَال  dapatlah disimpulkan bahawa undang-undang tersebut adalah menepati dan tidak bercanggah dengan hukum syarak di mana semua pihak berhak mendapat perlindungan daripada sebarang kemudaratan yang setiap kemudaratan itu pastinya akan memberi kesan yang buruk dan tidak baik di dalam kehidupan mereka.

Berdasarkan kaedah fiqh الضَرَر يُزَال juga dapat memberi gambaran bahawa Islam adalah agama Rahmat yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. yang memberi keadilan kepada semua pihak di dalam menjaga keharmonian kehidupan manusia tanpa mengira sama ada mereka Islam atau kafir, miskin atau kaya dan dari kelompok mana mereka datang, sesuai dengan firman Allah di dalam al-Quran:


Maksudnya: Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam.

Akhirnya dari perbincangan di dalam penulisan ini juga dapat kita simpulkan bahawa kaedah atau qawaid fiqh memberi kemudahan atau faedah yang besar di dalam memudahkan kita memutuskan sesuatu hukum di dalam sesuatu perkara. Ia juga memudahkan kita di dalam memahami bagaimana sesuatu hukum syarak boleh dilakukan dengan menggunakan kaedah fiqh yang menggunakan metod atau kaedah yang umum.







Rujukan

Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234), Akta Penagih Dadah (Rawatan Dan Pemulihan) 1983 (Akta 283),  Peraturan-Peraturan  &  Kaedah -Kaedah. Petaling Jaya: International Law Book Services.

Anuar Fakhri Omar,  Dr.  Mohd  Nasran Mohamad, Mohammad Zaini Yahaya.2006. Kaedah  Fiqh.  Bangi: Pusat   Kembangan   Pendidikan,  Universiti Kebangsaan Malaysia

Kamus Dewan Edisi Keempat.2007. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka.

Prof. Dr. Haji AbdulMalik AbdulKarim Amrullah (HAMKA). Tafsir Al-Azhar. Penerbit Pustaka Panjimas, Jakarta.

http://www.adk.gov.my/web/guest/dasar-dadah-negara
http://www.bharian.com.my/articles/Lelakitetakkepalaibu/Article/


[1]  Anuar Fakhri Omar, Dr. Mohd Nasran Mohamad, Mohammad Zaini Yahaya, 2006, Kaedah Fiqh halaman 10
[2] Anuar Fakhri Omar, Dr. Mohd Nasran Mohamad, Mohammad Zaini Yahaya, 2006, Kaedah Fiqh halaman 12
[3][3]  Kamus Dewan Edisi Keempat, Halaman 300
[4]  Laporan akhbar Berita Harian bertarikh  22 Februari 2012, http://www.bharian.com.my/articles/Lelakitetakkepalaibu/Article/
[5] Lihat Laman Web Agensi Dadah Kebangsaan, http://www.adk.gov.my/web/guest/dasar-dadah-negara
[6] Ibid 5
[7] Lihat Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234), Akta Penagih Dadah (Rawatan Dan Pemulihan) 1983 (Akta 283), Peraturan-Peraturan & Kaedah-Kaedah, International Law Book Services, Halaman 58-59

1 ulasan:

  1. Saya ingin berbagi cerita kepada anda bahwa saya ini IBU PUSPITA seorang TKI dari malaysia dan secara tidak sengaja saya buka internet dan saya melihat komentar ibu hayati yg dari honkong tentan MBAH KABOIREN yg telah membantu dia menjadi sukses dan akhirnya juga saya mencoba menghubungi beliau dan alhamdulillah beliau mau membantu saya untuk memberikan nomor toto 6D dan alhamdulillah itu betul-betul terbukti tembus,kini saya sangat berterimakasih banyak kepada MBAH KABOIRENG dan jika anda ingin seperti saya silahkan hubungi MBAH KABOIRENG di 085-260-482-111,saya juga tidak lupa mengucap syukur kepada ALLAH karna melalui MBAH KABOIRENG saya juga sudah bisa sesukses ini dan jangan mudah percaya kepada MBAH yg lain selain MBAH KABOIRENG karna saya juga pernah mengalami yg namanya dibohongin sama para normal yg lain,ini bukan rekayasa dari saya melainkan ini kisah nyata dari seorang TKI,jangan ada percaya klau ada yg memakai pesan ini klau bukan atas nama saya krna itu cuma bohan dan ini resmi saya yg menulis.Untuk yg punya rum erimakasih atas tumpangannya. KLIK _ GHOB _ 2D 3D _ 4D _ 6D _ DISINI












    Saya ingin berbagi cerita kepada anda bahwa saya ini IBU PUSPITA seorang TKI dari malaysia dan secara tidak sengaja saya buka internet dan saya melihat komentar ibu hayati yg dari honkong tentan MBAH KABOIREN yg telah membantu dia menjadi sukses dan akhirnya juga saya mencoba menghubungi beliau dan alhamdulillah beliau mau membantu saya untuk memberikan nomor toto 6D dan alhamdulillah itu betul-betul terbukti tembus,kini saya sangat berterimakasih banyak kepada MBAH KABOIRENG dan jika anda ingin seperti saya silahkan hubungi MBAH KABOIRENG di 085-260-482-111,saya juga tidak lupa mengucap syukur kepada ALLAH karna melalui MBAH KABOIRENG saya juga sudah bisa sesukses ini dan jangan mudah percaya kepada MBAH yg lain selain MBAH KABOIRENG karna saya juga pernah mengalami yg namanya dibohongin sama para normal yg lain,ini bukan rekayasa dari saya melainkan ini kisah nyata dari seorang TKI,janan ada percaya klau ada yg memakai pesan ini klau bukan atas nama saya krna itu cuma bohon dan ini resmi saya yg menulis.Untuk yg punya rum erimakasih atas tumpangannya. KLIK _ GHOB _ 2D 3D _ 4D _ 6D _ DISINI

    BalasPadam