Selasa, 13 Julai 2010

PENGENALAN KEPADA 2 KARYA HADIS

Oleh:
Muhammad Yazid Othman


BUKU MENUJU KEBAHAGIAAN SEJATI: KOLEKSI HADITH SERTA SANAD RIWAYAT TUAN GURU HJ. ABDULLAH BIN AL-MARHUM TUAN GURU HJ. ABDURRAHMAN

Pendahuluan

Pengajian Hadis pada zaman ini amat jarang sekali memberi penekanan terhadap kaedah periwayatan hadis tersebut. Apabila sesebuah hadis itu dibacakan kebiasaannya ia dibaca secara umum tanpa menyebutkan sanadnya. Di dunia Melayu kini amat kurang sekali karya-karya hadis yang disertakan dengan sanad serta sejarah perawi. Kehadiran karya ini yang merupakan himpunan atau koleksi hadis bersanad yang telah diriwayatkan oleh al-Marhum Tuan Guru Hj. Abdullah bin al-Marhum Tuan Guru Hj. Abdurrahman, amat dihargai sekali dan mudah-mudahan dapat menambahkan lagi karya hadis yang menekankan kaedah bersanad pada sesuatu hadis tersebut.

Biografi Ringkas Tuan Guru Hj. Abdullah bin al-Marhum Tuan Guru Hj. Abdurrahman

Tuan Guru Haji Abdullah Bin Haji Abdul Rahman dilahirkan pada 11 Februari 1933 di Kampung Lubuk Tapah , Pasir Mas , Kelantan.

Beliau telah menerima pendidikan awal daripada ayahandanya sendiri iaitu Tuan Guru Haji Abdul Rahman Bin Che Wan semenjak dari kecil hingga berumur 20 tahun. Kemudian beliau melanjutkan pengajiannya ke Mekah selama 14 tahun iaitu semenjak tahun 1953 hingga tahun 1966. Guru-gurunya semasa beliau belajar di Mekah dari kalangan ulama-ulama nusantara terdiri daripada :

1. Al- Syeikh Ismail Bin Abdul Qadir Al- Fatani(dikenali sebagai Pa Da Ail)

2. Al- Syeikh Abdul Qadir Bin Abdul Muttalib Al-Mandili.

3. Al- Syeikh Muhammad Daud Bin Sulaiman Al- Kalantani.

4. Al- Syeikh Mokhtar Afnan.

5. Al-Syeikh Soleh Idris Al-Kalantani

6. Al-Syeikh Haji Abdul Rahman Daud Al-Fatani

7. Al-syeikh Engku Abdul Jalil Al-Indonisi

8. Al Syeikh Muhammad Yaasin Al-Padani

9. Al-Syeikh Soleh Saika

10. Al-Syeikh Sulaiman Ambon Al-Indonisi

11. Al-Syeikh Zakaria Al-Indonisi

manakala guru-gurunya yang terdiri daripada ulama-ulama Arab pula terdiri daripada :

1. Al-Syeikh Hasan Muhammad Al-Massyat

2. Al-Syeikh Sayyid A’lawi Sayyid Abbas

3. Al-Syeikh A’rabi Al-Idris Al-Maghribi

4. Al-Syeikh Muhammad Noor Al-bahraini

5. Al-Syeikh Abdullah Al-Lahhaji

6. Al-Syeikh Muhammad Amin

7. Al-Syeikh Sayyid Al-Yamani

Tuan Guru Haji Abdullah semasa hidupnya juga adalah merupakan salah seorang Anggota Jemaah Ulamak Majlis Agama Islam Negeri Kelantan semenjak tahun 1969. Beliau juga rapat dengan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Aziz bin Nik Mat. Kitab karangan beliau ialah:

Persediaan Bagi Sekalian Mukallaf – kitab kecil membicarakan tentang ilmu tauhid,ulasan hakikat mustahil dan himpunan beberapa amalan doa-doa, dikarangnya sekembali beliau daripada Mekah pada tahun 1967.

Risalah Doa-Doa – Termuat didalamnya beberapa amalan doa-doa. Ditulis semasa beliau di Mekah pada tahun 1965.

Sultan Kelantan,Sultan Ismail Petra berkenan untuk menganugerahi beliau sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Kelantan 1426H sempena dengan Majlis Sambutan Hijratul Rasul Peringkat Negeri Kelantan 1426 H / 2005 M pada 9 Februari 2005 di Dewan Besar Balai Islam Lundang, Kota Bharu.


Mengenai Pengarang Buku

Buku atau kitab ini telah dikarang oleh Ustaz Mohd Zaidi Abdullah, beliau adalah meupakan salah seorang daripada anak murid Tuan Guru Haji Abdullah, selain daripada buku ini beliau juga telah mengarang 2 buah buku lain yang bertajuk, Nafas Baru HIKMAH AL-ISYRAQI, Manifesto Intisari dan Rahsia dalam pemikiran dan Pengamalan Islami dan juga Pegangan Sejati Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Penulisan-penulisan beliau juga ada tersiar di dalam akhbar Utusan Malaysia. Beliau juga merupakan Ketua Penyelidik Akademi ‘Ulum Pondok dan Pencerahan Tamadun.

Hadis-Hadis Yang Terdapat Di Dalam Buku Ini.

Terdapat 50 hadis bersanad yang dimuatkan di dalam buku / kitab ini antaranya ialah Penghulu Istighfar, riwayat al-adab al-Mufrad karya Imam al-Bukhari, Jaminan Allah S.W.T. Kepada Penuntut Ilmu-Ilmu Islam riwayat Musnad Abu Hanifah dan lain-lain lagi.

Kelebihan Buku / Kitab Ini

Pengajian ilmu hadis secara bersanad merupakan tradisi para ulama’ dahulu kala dan pada zaman ini walaupun kaedah pengajian Ilmu hadis secara bersanad telah berkurangan namun masih ada kelompok ulama’ dan para ustaz mengamalkannya. Pengajian hadis secara bersanad membolehkan para pelajar mengetahui secara jelas susur galur dari mana datangnya hadis tersebut dan siapakah perawi-perawi hadis itu ini secara tidak langsung akan menjaga keautoritian sesebuah hadis disamping pelajar akan mengenali ulama-ulama yang terlibat di dalam bidang hadis pada masa dahulu.

Pada hemat saya di Malaysia inilah satu-satunya kitab / buku yang membicarakan mengenai hadis secara bersanad. Apa yang menariknya ialah kitab / buku ini ditulis di dalam bahasa Melayu maka secara tidak langsung memudahkan para pelajar di dalam bidang hadis lebih memahami isi kandungannya malahan sangat bagus bagi orang awam yang baru berjinak-jinak untuk mempelajari ilmu hadis memiliki kitab / buku ini sebagai pengenalan kepada memahami ilmu-ilmu hadis.

BUKU HADIS-HADIS PERINGATAN BUAT UMUR INSAN

Mengenai Pengarang Buku

Buku ini telah dikarang oleh seorang tokoh agama yang terkenal iaitu Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Beliau adalah merupakan bekas pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), dari segi akademik beliau telah mendapat Ijazah di dalam bidang Syariah dari Universiti Madinah, kemudian melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana (Master) di Syiria. Setelah itu beliau menyambungkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah di Universiti Sains Malaysia.

Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri juga adalah merupakan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu dan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan. Selain buku ini beliau juga ada mengarang karya-karya penulisan yang lain antaranya Syarah al-Hikam dan A-Z Tentang Tasawuf Tapi Anda Tiada Tempat Untuk Bertanya.

Pengisian Buku

Buku ini telah diterbitkan oleh syarikat Telaga Biru Sdn. Bhd. pada tahun 2008. Ia mempunyai 251 halaman. Sedikit ulasan mengenai buku Hadis-Hadis Peringatan Buat Umur Insan ini, bagi saya ianya adalah satu himpunan hadis-hadis untuk mendidik rohani dengan melakukan akhlak-akhlak terpuji dan juga pengenalan kepada perkara-perkara yang mendatangkan dosa-dosa besar. Dimasukkan juga hadis yang menyentuh mengenai kepentingan zikir yang telah dikupas oleh pengarang pada halaman 27, bab 54 iaitu bab ‘Melazimi Zikir’.

Antara bab-bab yang terdapat di dalam buku ini ialah: Mencari Ilmu Manfaat (bab 55), Sifat Pemaaf (bab 59), Mencari Keredhaan Allah (bab 66) dan Akhirat Hidup Yang Hakiki (bab 69).

Kelebihan Buku Hadis-Hadis Peringatan Buat Umur Insan

Buku ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri berbanding sebahagian buku-buku penulisan hadis yang lain yang diterbitkan pada zaman ini. Antara keistimewaan buku ini ialah, selain terdapatnya matan dan juga pengajaran (syarah) sesuatu hadis tersebut, pengarang juga memasukkan takhrij hadis pada hadis-hadis itu, ini amat jarang kita temui di dalam buku-buku hadis moden di zaman ini.

Selain itu juga apa yang menarik minat saya ialah, bagi sesetengah hadis, pengarang buku turut memasukkan munaqib atau riwayat hidup perawi hadis. Sebagai contoh, di dalam bab 58 (halaman 63) iaitu ‘Bab Mengikut Sunnah’ pengarang telah memasukkan munaqib perawi hadis ini iaitu Abu Muhammad, Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As R.A. Dengan adanya sedikit kisah pengenalan mengenai perawi hadis, ia membolehkan pembaca menjadi lebih menghayati dan mengenali hadis itu dengan lebih berkesan lagi. Selain itu juga huraian mengenai hadis yang terdapat di dalam buku ini disokong dengan ayat-ayat al-Quran, ini menjadikan huraian tersebut menjadi lebih mudah mantap serta mudah difahami. Buku ini juga mempunyai ilustrasi yang menarik sebagai hiasan di bahagian tepi buku, ini juga berperanan untuk menarik minat pembaca untuk membaca buku ini.

Akhirnya bagi saya ia adalah merupakan sebuah karya hadis yang baik dan menarik sesuai untuk bacaan semua peringkat umur dan insyaallah ia dapat memberikan manafaat yang besar kepada pembacanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan