Rabu, 21 Oktober 2009

Undang-Undang Islam Atau Undang-Undang Ke Arah Islam?

Di Malaysia walaupun sesuatu undang-undang berkaitan / berkenaan Islam di dalam kuasa Mahkamah Syariah, namun tidak semestinya ia merupakan undang-undang yang telah ditetapkan oleh agama Islam. Tulisan ini akan membuat pembahagian ringkas untuk pengenalan asas sebagai perbandingan antara undang-undang Islam yang sebenar dan juga undang-undang 'ke arah' undang-undang Islam.  Pembahagian ini dibuat adalah kerana undang-undang syariah di Malaysia walaupun secara umumnya diklafikasikan sebagai undang-undang Islam, namun ada di antara undang-undang tersebut masih belum menepati hukum atau undang-undang yang telah ditetapkan oleh Islam. Khususnya undang-undang Islam yang berkaitan jenayah, contohnya seperti perbuatan zina, ia adalah di dalam kategori undang-undang hudud dan jika sabit kesalahan ia boleh membawa hukum rotan 100 kali bagi yang belum berkahwin sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam al-Quran:




Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.

                                   Surah an-Nur ayat 2

Jika menurut undang-undang syariah di Malaysia pula, secara umumnya hukuman yang dikenakan kepada penzina adalah berlainan dengan undang-undang syarak. Sebagai contoh menurut Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kedah 1988 disebutkan:



“Mana-mana orang yang berzina adalah bersalah atas satu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.”



Berdasarkan contoh di atas jelas terdapat perbezaan yang ketara di antara undang-undang syariah di Malaysia dengan hukum Islam yang sebenar. Ini membuktikan walaupun ada di antara undang-undang yang terdapat di dalam undang-undang syariah di Malaysia menepati hukum syarak, namun ia tidak meliputi semua aspek undang-undang syariah tetapi, hanya sebahagian sahaja undang-undang syariah di Malaysia yang menepati hukum syarak, manakala sebahagiannya tidak menepati hukum syarak malah terdapat perbezaan ketara di antara undang-undang syariah Malaysia dan juga hukum Islam yang sebenar. Jadi undang-undang syariah di Malaysia yang masih tidak menepati hukum syarak ini adalah lebih sesuai diistilahkan sebagai 'undang-undang ke arah Islam', ini kerena ia masih belum menepati kretaria undang-undang Islam yang sebenar.

Begitulah serba sedikit perbandingan secara asas mengenai undang-undang Islam yang menurut al-Quran & Sunnah dan juga undang-undang 'ke arah Islam' yang telah digubal oleh pihak-pihak berkuasa di Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan