Ahad, 1 Julai 2012

ABU ASWAD AL-DU’ALI : TOKOH PENGASAS ILMU NAHU BAHASA ARAB

Oleh: Muhammad Yazid Othman

Pengenalan
Bahasa Arab adalah merupakan bahasa utama yang mana ia bukan sahaja merupakan bahasa utama kehidupan di dunia tetapi ia juga merupakan bahasa di alam syurga. Bagi umat Islam bahasa Arab menjadi begitu penting kerana ia merupakan bahasa al-Quran dan juga bahasa Hadis yang menjadi sumber utama hukum-hakam di dalam Islam.

Bagi memahami bahasa Arab dengan kefahaman yang betul maka seseorang itu perlulah menguasai kaedah-kaedah di dalam bahasa tersebut. Ilmu Nahu adalah merupakan kaedah di dalam bahasa Arab yang bertujuan mengelakkan berlakunya kesalahan di dalam penggunaan bahasa. Mungkin sesetengah pihak menganggap remeh mengenai kesalahan di dalam  penggunaan bahasa namun tidak ramai yang menyedari bahawa kesalahan penggunaan bahasa Arab memberi kesan yang besar terhadap umat Islam.
Antara kesan yang besar terhadap umat Islam akibat kesalahan di dalam penggunaan bahasa Arab ialah ia akan menyebabkan maksud sesuatu perkataan itu menjadi terpesong dari maksudnya yang sebenar ia akan menjadi lebih buruk seandainya melibat ayat-ayat al-Quran dan Hadis yang berkaitan Aqidah umat Islam.

Biografi Abu Aswad al-Du’ali
Tiga tahun sebelum Nabi Muhammad S.A.W. diangkat menjadi nabi lahirlah seorang tokoh yang terkenal di dalam ilmu Nahu iaitu Abu Aswad al-Du’ali, beliau dari kalangan keturunan kinanah. Nama penuh beliau ialah Zalim b. ‘Amru b. Sufyan b. Jandal b. Ya’mur b. Hils b. Nufathah b. ‘Adiyy b. al-Du’al b. Bakr b. Kinanah.

Sungguhpun Abu Aswad al-Du’ali lahir pada zaman Nabi Muhammad S.A.W. namun beliau bukanlah dari kalangan sahabat Nabi Muhammad S.A.W. tetapi beliau adalah dari kalangan tabiin. Ini adalah disebabkan beliau tidak pernah berjumpa dengan Nabi Muhammad S.A.W. Pada zaman Khalifah Umar al-Khattab, Abu Aswad al-Du’ali telah berhijrah ke Basrah dan menetap di sana. Sebuah masjid yang didirikan di sana dinamakan sempena nama beliau.

Hubungan Abu Aswad al-Du’ali dengan Saidina Ali bin Abi Talib sangat rapat dan beliau akan sentiasa menyebelahi Ali R.A di dalam apa jua situasi. Keakraban di antara Abu Aswad al-Du’ali dan juga Ali R.A. menyebabkan Mu’awiyah telah cuba mengambil hati Abu Aswad al-Du’ali untuk menyebelahinya namun disebabkan Abu Aswad al-Du’ali begitu setia dengan Ali R.A. maka usaha Mu’awiyah untuk memujuk beliau telah gagal.

Abu Aswad al-Du’ali pernah keluar berperang bersama-sama Ali R.A. di dalam peperangan al-Jamal dan Siffin. Ketika di dalam peperangan al-Jamal, Abu Aswad al-Du’ali telah dihantar oleh gebenor Basrah pada ketika itu iaitu Uthman b. Hanif untuk menjadi utusan perbincangan manakala Abdullah b. Abbas pula pernah melantik Abu Aswad al-Du’ali untuk mengetuai tentera Islam di dalam memerangi pihak Khawarij di kawasan Basrah.

Sumbangan Abu Aswad al-Du’ali Di Dalam Ilmu Nahu Bahasa Arab
Ali R.A. adalah merupakan guru kepada Abu Aswad al-Du’ali di mana Abu Aswad al-Du’ali telah mempelajari ilmu Fiqh, al-Quran serta ilmu Nahu dari Ali R.A. mungkin disebabkan ini jugalah menjadikan hubungan Abu Aswad al-Du’ali dengan Ali R.A. menjadi begitu rapat.  Selain menuntut ilmu dengan Ali R.A. Abu Aswad al-Du’ali turut meriwayatkan hadis daripada beliau. Selain meriwayatkan hadis daripada Ali R.A., Abu Aswad al-Du’ali juga ada meriwayatkan hadis daripada Ibn Abbas, Ibn Mas’ud dan Abu Dhar al-Ghifari R.A.

Berkembangnya Islam menyebabkan berlaku percampuran di antara orang Arab dan juga bangsa-bangsa lain yang bukan berbangsa Arab (orang Ajam). Keadaan ini juga menyebabkan berlakunya percampuran bahasa di antara orang Arab dan juga bukan Arab yang mengakibatkan kerosakan di dalam bahasa Arab atau disebut lahn[1] ( (لحن).

Situasi ini sekiranya dibiarkan akan memberi kesan buruk kepada bahasa Arab yang juga merupakan bahasa al-Quran dan juga bahasa Hadis. Prihatin dengan perkara ini maka Ali R.A. telah meminta Abu Aswad al-Du’ali untuk menyusun ilmu berkaitan Nahu. Kisah ini telah diriwayatkan di mana pada satu ketika Abu Aswad al-Du’ali telah datang mengadap Ali R.A. pada waktu itu terdapat lembaran kertas di tangan Ali R.A., Abu Aswad al-Du’ali pun bertanya kepada Ali R.A. tentang kertas tersebut. 

Kemudian Ali R.A. telah menjawab beliau berhajat untuk menyusun mengenai bahasa Arab supaya ia boleh menjadi rujukan dan panduan kepada orang-orang Arab yang mana bahasanya telah tercemar akibat pergaulan dan percampuran mereka dengan orang-orang yang bukan berbangsa Arab. Setelah itu Ali bin Abi Talib R.A. telah meminta Abu Aswad al-Du’ali untuk meneruskan tugas tersebut. Maka Abu Aswad al-Du’ali menjalankan tugas yang telah diarahkan oleh Saidina Ali R.A. di dalam  menyusun kaedah Nahu demi menjaga keaslian bahasa Arab dari tercemar dan rosak. Kisah ini adalah merupakan hujjah yang mengaitkan Abu Aswad al-Du’ali sebagai tokoh pengasas ilmu Nahu.

Meletakkan Titik Pada Huruf al-Quran
Selain terlibat menyumbang bakti di dalam penyusunan kaedah Nahu bahasa Arab, Abu Aswad al-Du’ali juga terlibat di dalam meletakkan titik / nuqat pada huruf-huruf di dalam bahasa Arab / ayat-ayat al-Quran. Tulisan atau huruf-huruf bahasa Arab / ayat-ayat al-Quran yang mempunyai titik seperti yang kita lihat pada zaman ini pada asalnya huruf-huruf tersebut tidak mempunyai titik tetapi ia ditambah kemudian. Arahan untuk meletakkan titik / nuqat pada huruf Hijaiyah telah dibuat oleh Ziad bin Abu Ziad seorang pemimpin Basrah pada zaman pemerintahan Khalifah Mu’awiyah bin Abu Sufian.

Penutup
Abu Aswad al-Du’ali yang datang dari keturunan Kinanah memberi telah kelebihan kepada beliau sebagai individu yang fasih di dalam bahasa Arab. Kelebihan yang dimiliki oleh beliau telah menarik perhatian pemerintah pada zamannya untuk diberi kepercayaan di dalam urusan yang berkaitan bahasa.
Ketokohan Abu Aswad al-Du’ali di dalam bidang bahasa Arab turut telah melahirkan murid-murid di dalam bidang bahasa Arab. Antara murid-murid beliau adalah, Abdul Rahman b. Hurmuz, Nasr b. ‘Asim, Yahya b. Ya’mur, ‘Ata b. Abu al-Aswad, ‘Anbasah b. Ma’dan, Maymun al-Aqran, Qatadah b. Du’amah, Abu Nawfal b. Abu ‘Aqrab, Sa’d b. Syaddad dan lain-lain.
Setelah sekian lama menabur bakti di dalam ilmu bahasa Arab akhirnya pada tahun 69 Hijrah  Abu Aswad al-Du’ali telah meninggal dunia di Basrah pada usia 85 tahun akibat penyakit taun. Abu Aswad al-Du’ali telah meninggalkan empat orang zuriat iaitu ‘Ata dan Harb berserta dua orang anak perempuan.
Sesungguhnya jasa-jasa beliau dalam pengasasan ilmu Nahu Arab tercatat di  dalam sejarah pengajian ilmu bahasa Arab dan akan terus dikenang selamanya.

Rujukan
Abu Mardhiyah.Tajwid Al-Quran, Qiraat ‘Aashim – Riwayat Hafsh Toriq al-Syatibi Jilid 1 & 2. 2007. Kuala Lumpur: Al-Jenderaki Enterprise

Kamus Dewan Edisi Keempat.2007. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamarul Shukri Mat Teh. Perkembangan Awal Nahu Arab. 2010. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka.


[1] Lahn bermaksud kesalahan di dalam meletakkan baris atau irab pada perkataan atau sebutan di

dalam bahasa Arab

3 ulasan:

  1. apa yang mengharokati alqur'an,.,,,?

    BalasPadam
  2. boleh saya tahu siapa guru guru bagi tokoh abu aswad ni ye ??

    BalasPadam
  3. boleh saya tahu siapa guru guru bagi tokoh abu aswad ni ye ??

    BalasPadam