Ahad, 4 September 2011

Riddah / Murtad

Riddah / Murtad

Oleh: Muhammad Yazid Othman


Apakah maksud Murtad?

Jawapan:

Murtad atau di dalam bahasa Arab ianya dipanggil Riddah dari segi bahasa adalah bermaksud:

Beralih daripada sesuatu kepada sesuatu yang lain

Adapun jika dilihat dari segi istilah undang-undang Islam pula ia bermaksud:

Beralih daripada memeluk Islam kepada memeluk agama lain atau anutan lain

Bagaimana Pandangan Islam Terhadap Murtad?

Jawapan:

Di dalam Islam perbuatan murtad adalah jenis kufur yang paling keji ia juga membawa hukuman yang berat serta kesan yang besar.

Dalilnya ialah:



Dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari ugamanya (ugama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).

Apakah Yang Boleh Menyebabkan Seseorang Itu Menjadi Murtad?


Jawapan:

Terdapat beberapa perkara yang boleh menyebabkan seseorang itu menjadi murtad ia adalah seperti:

a. Menolak hukum Islam yang telah disepakati dan pasti diketahui umum. Antara contoh-contohnya ialah menolak ibadat-ibadat yang telah ditetapkan oleh Islam seperti menolak kewajipan solat, puasa, zakat dan haji. Menolak pengharaman arak, judi dan lain-lain perkara dan perbuatan yang jelas telah diharamkan oleh Islam.

b. Melakukan perbuatan yang hanya dilakukan oleh orang-orang kafir seperti sujud kepada berhala atau pun melakukan ibadat seperti ibadat orang kafir. Melakukan perkara yang menghina al-Quran dan kitab Hadis seperti dengan sengaja dan tanpa sebarang paksaan mencampakkan al-Quran ke tempat yang bernajis ini termasuk juga kitab Hadis dan juga tafsir al-Quran.

c. Mengucapkan sesuatu yang mempersendakan, menghina ajaran agama Islam. Contohnya dengan mengatakan ajaran Islam tidak sesuai untuk kemodenan atau pencipta alam ini tidak wujud.


Adakah Seseorang Menjadi Murtad Jika Mengucapkan Perkataan Mempersendakan atau Menghinakan Islam Secara Gurau Senda?


Jawapan:

Ya, seseorang boleh menjadi murtad dengan mengucapkan kata-kata yang menghina Islam walaupun dengan gurau senda atau pun main-main.


Apakah Hukuman Terhadap Orang Yang Murtad?


Jawapan:

Hukuman terhadap orang murtad adalah dibunuh, namun sebelum hukuman itu dijatuhkan pelaku hendaklah diberi peluang untuk bertaubat. Tetapi jika beliau engkar untuk bertaubat maka barulah hukuman tersebut dijalankan terhadap orang yang murtad tersebut.

Apakah Dalil Hukuman Bunuh Terhadap Pesalah Murtad?


Jawapan:

Dalil hukuman bunuh terhadap pesalah murtad ialah hadis Nabi Muhammad S.A.W.:




Sesiapa yang menukar agamanya, hendaklah kamu bunuh dia

(hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari)



daripada Abdullah R.A. bahawa Nabi Muhammad S.A.W. bersabda:

Tidak dihalalkan darah seorang muslim yang mengakui bahawa Tiada Tuhan Melainkan Allah dan Saya ini adalah Utusan Allah kecuali kerana salah satu daripada 3 sebab berikut iaitu nyawa dengan nyawa, orang yang pernah kawin yang berzina dan orang yang memisahkan diri daripada agamanya serta meninggalkan masyarakat Islam. (hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari).

Apakah Syarat-Syarat Pelaksanaan Hukuman?


Jawapan:

Syarat-syarat pelaksanaan hukuman murtad adalah seperti berikut:

a. Seseorang yang hendak dijatuhkan hukuman terhadapnya hendaklah seorang yang baligh dan berakal. Jika perbuatan murtad tersebut dilakukan oleh kanak-kanak atau pun orang gila maka perbuatan mereka tidak diambil kira kerana mereka bukan mukhallaf. Namun penjaga kepada kanak-kanak tersebut bertanggungjawab menegur dan menghukum serta meminta kanak-kanak tersebut bertaubat dan menarik semula apa yang telah dilakukannya.

b. Pesalah diminta supaya bertaubat terlebih dahulu. Seseorang pesalah murtad tidak boleh dibunuh kecuali setelah meminta beliau untuk bertaubat terlebih dahulu. Jika beliau masih enggan untuk bertaubat walaupun telah diminta supaya bertaubat maka setelah itu barulah hukuman bunuh boleh dijalankan kepada pesalah dan hukuman tersebut akan terus dijalankan tanpa diberikan tempoh kepada pesalah.

c. Perlakuan murtad oleh pesalah disahkan melalui pengakuan pesalah itu sendiri atau pun melalui saksi yang sahih dan memenuhi syarat saksi yang telah ditetapkan oleh Islam.

Apakah Kesan Murtad Terhadap Pesalah?


Jawapan:

Terdapat beberapa kesan terhadap pesalah yang melakukan kesalahan murtad iaitu:

a. Harta bendanya akan ditahan oleh pemerintah atau wakilnya dan hanya digunakan mengikut keperluan sehingga beliau bertaubat. Iaitu jika beliau bertaubat maka harta-bendanya akan dikembalikan kepada beliau tetapi sekiranya beliau enggan bertaubat dan dihukum mati maka hak terhadap hartanya dikira telah dibatal sebaik sahaja beliau murtad.

b. Kesemua urusan dan akad sivilnya seperti jual beli, anugerah, gadaian dan sebagainya akan terbatal kerana statusnya sebagai murtad menggugurkan segala kelayakannya.

c. Segala hak waris-mewarisi di antara beliau dengan warisnya adalah gugur, walaupun jika mengikut hukum asalnya beliau adalah merupakan pewaris kepada saudara-maranya. Andainya salah seorang saudara-maranya meninggal dunia ketika beliau murtad maka beliau tidak berhak mendapatkan harta tersebut. Ini adalah berdasarkan hadis Nabi Muhammad S.A.W. :


Seorang muslim tidak boleh mewarisi pusaka orang kafir dan orang kafir tidak boleh mewarisi pusaka seorang muslim (hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari).


d. Seorang yang murtad adalah dipisahkan dengan isterinya serta akad nikah mereka digantung. Jika pesalah bertaubat dan kembali kepada Islam ketika masih lagi di dalam tempoh iddah maka beliau dan isterinya boleh kembali bersama tanpa akad nikah baru. Tetapi jika pesalah tidak bertaubat di dalam tempoh iddah maka akad nikah tersebut akan terbatal. Ini bermakna jika pesalah bertaubat selepas tempoh iddah dan dia hendak kembali kepada isterinya maka mereka perlu akad nikah semula dengan mahar yang baru.

Apakah Pula Kesan Terhadap Pesalah Selepas Hukuman Bunuh Dijalankan Terhadapnya?


Jawapan:

Terdapat beberapa kesan terhadap orang yang murtad selepas kematiannya iaitu:

a. Mayat beliau tidak boleh dimandikan, dikafankan dan disolatkan seperti mana jenazah orang Islam. Ini kerana beliau telah sabit kesalahan keluar dari Islam.

b. Mayat pesalah juga tidak boleh ditanam di tanah perkuburan orang Islam dan hendaklah mayat pesalah ditanam jauh dari kawasan perkuburan orang Islam.

c. Saudara-maranya tidak boleh mewarisi harta pusaka beliau ini kerana hubungan beliau dengan saudara-maranya telah putus apabila beliau melakukan murtad.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan