Selasa, 13 September 2011

SISTEM KALKULATOR FARAID SECARA ONLINE: SATU INOVASI DALAM MEMAHAMI PENGIRAAN FARAID

Oleh:
Muhammad Yazid Othman

PENDAHULUAN

Bermula hidup seseorang anak Adam di dunia ini pastinya akan berakhir dengan kematian seperti yang telah dinyatakan di dalam al-Quran:


Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh ajalnya (yang telah ditetapkan) maka apabila datang ajalnya, tidak dapat mereka melambatkan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka mempercepatkannya.

Apabila seseorang muslim itu pergi meninggalkan dunia maka bermulalah keperluan bagi ahli keluarganya untuk mengambil alih urusan harta si mati. Waris si mati perlu menyelesaikan beberapa perkara yang melibatkan si mati antaranya:

a. Menyelesaikan hutang si mati sama ada hutang dengan Allah atau pun hutang sesama manusia.

b. Menyempurnakan wasiat si mati iaitu andai ada lebihan harta si mati setelah hutangnya diselesaikan maka bolehlah ditunaikan wasiat si mati sekiranya beliau berhajat memberikan hartanya kepada satu pihak yang lain dan harta tersebut mestilah tidak melebihi 1/3 daripada harta yang tinggal itu ini berhujahkan hadis Saad bin Waqqas R.A. katanya:

Rasulullah S.A.W. menziarahi ku ketika Haji Wada’ ketika aku sedang sakit tenat hampir mati. Aku berkata: Wahai Rasulullah, aku kini tenat dan aku seorang yang berharta sedangkan aku tiada waris kecuali seorang anak perempuan. Apakah boleh aku bersedekah dua pertiga harta ku? Jawab Baginda: Tidak, Aku bertanya: Apakah boleh aku bersedekah separuh hartaku? Jawab Baginda: Tidak, satu pertiga sahaja, satu pertiga pun sudah banyak. Sekiranya engkau meninggalkan waris engkau dalam keadaan kaya adalah lebih baik daripada engkau tinggal mereka dalam keadaan miskin meminta-minta daripada orang ramai. Segala perbelanjaan yang engkau keluarkan semata-mata untuk Keredhaan Allah nescaya engkau akan mendapat ganjarannya termasuklah sesuap nasi yang engkau suapkan ke mulut isterimu. (hadis riwayat Imam Bukhari).

c. Setelah menyelesaikan perkara-perkara tersebut dan sekiranya masih terdapat baki pada harta tersebut barulah agihan harta tersebut diagihkan kepada waris-waris yang berhak. Firman Allah dalam surah An-Nisa Ayat 7


Orang-orang lelaki ada bahagian pesaka dari peninggalan ibubapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pesaka dari peninggalan ibubapa dan kerabat, samada sedikit atau banyak dari harta yang ditingggalkan itu iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).

GAGAL MENGUASAI ILMU FARAID

Pada zaman ini kebanyakan umat Islam di Malaysia tidak lagi menguasai ilmu Faraid bukan hanya di dalam konteks pengiraan ilmu Faraid tetapi termasuk juga di dalam memahami dengan sebaiknya ilmu berkenaan. Berdasarkan situasi ini mungkin kita boleh mengambil pengajaran daripada hadis Rasulullah S.A.W. :

“Pelajarilah ilmu Faraid kerana ia adalah sebahagian daripada agama kamu dan ia adalah setengah daripada ilmu. Ia juga adalah ilmu yang pertama dicabut daripada umatku” (hadis riwayat Ibnu Majah)

Apa yang terjadi ini amat merugikan umat Islam kerana kegagalan di dalam pengagihan harta tersebut di kalangan waris akan menyebabkan harta tersebut menjadi ‘beku’. Di samping itu juga sekiranya terdapat kanak-kanak di dalam kalangan waris yang berhak menerima pusaka seperti anak si mati, secara tidak langsung akan menzalimi kanak-kanak tersebut kerana beliau mempunyai hak di dalam harta tersebut.

Dalam satu kenyataan akhbar tempatan sebanyak RM40 bilion harta umat Islam di negara ini telah menjadi 'beku' . Perkara ini berkemungkinan besar disebabkan kurang keperihatinan atau kurang keilmuwan dan kefahaman mengenai ilmu faraid di kalangan umat Islam.

Keratan Akhbar: Harta Umat Islam Tidak Dituntut, Mungkinkah Ini Disebabkan Umat Islam Tidak Memahami Ilmu Berkaitan Faraid?
 
SISTEM PENGIRAAN FARAID DALAM TALIAN

Setelah kita melihat fakta yang dikemukakan di atas jelas kini bahawa umat Islam di negara ini perlu kepada satu jalan penyelesaian di peringkat awal bagi menyelesaikan pembahagian Faraid terutama di dalam bab pengiraan faraid.

Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia telah mewujudkan satu sistem pengiraan pembahagian faraid secara online di dalam web jabatan tersebut. Ia boleh dicapai melalui http://www.esyariah.gov.my/.

Melalui sistem ini dapat membantu ahli waris di dalam peringkat awal untuk mengetahui pengiraan faraid.

Gambar 1: Paparan di muka hadapan Sistem Pengiraan Faraid

Gambar 2: Waris Boleh Memilih Untuk Pengiraan Selapis Atau Pun Dua Lapis
Gambar 3:  Waris Hendaklah Mengisikan Maklumat Nama Dan Kad Pengenalan Waris-Waris Terlibat

Gambar 4: Sistem Akan Memaparkan Hasil Kiraan Setelah Membuat Pengiraan Secara Automatik


KESIMPULAN

Berdasarkan pengamatan terhadap Sistem Pengiraan Faraid Dalam Talian yang telah diwujudkan oleh pihak Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia ini maka dapat disimpulkan bahawa sistem ini merupakan satu sistem yang baik yang boleh di manafaatkan oleh umat Islam di negara ini bagi mendapat maklumat awal berkenaan pengiraan dan pembahagian harta pusaka dan secara langsung mudah-mudahan dapat mengatasi masalah berkenaan pembahagian harta pusaka di kalangan umat Islam pada waktu ini.

Cuma terdapat sedikit kelemahan pada sistem ini di mana segala maklumat dan pengiraan faraid yang terkandung di dalam dokumen pada sistem ini yang berkaitan dengan faraid tidak boleh digunakan sebagai Sijil Faraid tetapi ia hanya sebagai maklumat ilmiah sahaja.

Diharap pihak Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dapat memperbaiki masalah ini supaya mudah-mudahan pada masa akan datang sistem ini akan dapat digunakan sepenuhnya termasuk boleh diperaku sebagai Sijil Faraid dan boleh digunakan di dalam mahkamah.

2 ulasan:

  1. simati meninggalkan adik beradik 2 lelaki 3 perempuan

    BalasPadam
  2. syukron ya Muhammad Yazid Otsman 'ala rokyik wakitabatik.barokallahu lak. amin

    BalasPadam